Selasa, 18 November 2014

REWANG @ MEREWANG ?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Ahad, 23 Muharram 1436H. REWANG @ MEREWANG ?
Zaman-berzaman bangsa kita menjalankan sistem kerja bergotong-royong atau dikenali juga sebagai ‘rewang’. Cuma apabila ditambah dengan imbuhan ‘me’ jadi ‘merewang’ sudah lain pula maksudnya.
PENCERAHAN :
Acara rewang biasanya terdapat dalam majlis kenduri-kendara sama ada kerja kahwin atau kenduri akikah sempena kelahiran bayi atau pun kenduri tahlil bila berlaku sesuatu kematian.
Penduduk desa khususnya, masih sangat kental dengan rasa kekeluargaan dan rasa persaudaraan. Mereka ‘guyub’, masih dan terus melaksanakan dan menjalankan budaya dan cara kerja yang sudah sekian ratus tahun terbukti mampu meningkatkan kesejahteraan dan keharmonian hidup mereka. Mereka bahu - membahu saling membantu antara sesama warga.
Selaras sekali kerja rewang ini, dengan apa yang dicontohkan dalam kitab suci Al-Quran terdapat sebuah surah yang bermaksud semut:
فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman a.s mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkan lah daku - dengan limpah rahmat-Mu - dalam kumpulan hamba-hamba Mu yang soleh”. (QS. An-Naml : 19)
Allah SWT menyebut binatang Semut ini agar manusia mengambil pelajaran dan hikmah dari kehidupan semut itu. Semut adalah binatang yang hidup berkelompok di dalam tanah, membuat liang dan ruang bertingkat - tingkat sebagai rumah dan gudang tempat menyimpan makanan. Kerapian dan kedisiplinan yang terdapat dalam Kerajaan Semut ini. Secara tidak langsung Allah mengingatkan agar manusia berusaha mencukupkan keperluan sehari - hari, mementingkan kemaslahatan bersama, tidak sombong, mampu berorganisasi dan bekerjasama dengan baik dan tindakan terpuji yang lain.
Kerja secara rewang ini adalah sebuah sistem kerja semut yang patut untuk kita pertahankan dan kita teruskan pada era cabaran dari khidmat katering sekarang ini. Tidak hanya tertakluk bagi warga desa saja yang boleh melakukannya, warga kotapun tentunya tidak mahu ketinggalan.
Antara hikmah kerja secara rewang ini ialah :
1. Pekerjaan selesai dengan cepat tanpa harus mengeluarkan belanja yang besar, kerana biaya untuk tenaga kerja berkurang dengan adanya semangat rewang sama-sama.
2. Tanpa terasa persaudaraan dan kebersamaan sesama warga semakin erat, yang kerja pejabat kenal dengan kenalan yang bekerja buruh, yang kerja sendiri kenal dengan yang bekerja bergaji / jadi kuli, yang kaya kenal dengan yang miskin, begitu juga sebaliknya.
3. Keamanan semakin terjamin, dengan rasa persaudaraan dan kebersamaan serta saling kenal diantara warga tentunya jika ada pendatang baru ataupun ada tamu asing yang mencurigakan tentu warga akan cepat mengetahuinya.
4. Ketenteraman dan kedamaian, akan diperoleh jika antara sesama warga saling peduli dan saling membantu dengan sesama warga lainya.
5. Duduk-duduk rewang sahaja walaupun tidak berbuat apa-apa pun dapat mengeratkan silaturrahim antara warga yang hadir. Kadang lebih ramai yang rewang dari kerja yang perlu dilakukan. Saja je suka-suka…
KESIMPULAN :
Rewang jangan merewang. Kenduri jangan ‘dikendurikan’… Wallahu a’lam - Penat rewang di Pondok Balai Ilmu di kampung tadi. Tapi rewang yang jenis duduk-duduk je… Ukay’s (UST. HJ. KAMIL SIDEK)

Tiada ulasan: