Khamis, 6 November 2014

KEBAIKAN AMALAN ORANG YANG ‘BELUM’ ISLAM TETAP AKAN DI BALAS OLEH ALLAH, TAPI…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Selasa, 11 Muharram 1436H. KEBAIKAN AMALAN ORANG YANG ‘BELUM’ ISLAM TETAP AKAN DI BALAS OLEH ALLAH, TAPI…
Minta maaf ye… di antara ribuan group dalam media sosial pastinya ada di antara mereka, rakan-rakan dari kalangan yang ‘belum’ Islam. Maaf sekali lagi kerana Ust. Kay menggunakan istilah ‘belum’ Islam dan bukan ‘bukan’ Islam untuk merujuk kepada mereka yang masih dalam kekufuran. Asasnya ialah tiada paksaan dalam beragama !
Bukan apa, Ust. Kay rasa kasihan dengan mereka, ramai di antara mereka baik-baik orangnya. Malah, ada diantara mereka lebih mesra dan baik dari sebahagian orang Islam sendiri yang lupa dia tu Islam. Ust. Kay juga mempunyai ramai kenalan yang ‘belum’ Islam seperti Cikgu Nandha, Cikgu Sanmugarajan, Cikgu Suweden, Pn. Rajeswari, Cik Kamala, Cik Chin, Encik Khor, Uncle Mohan dan ramai lagi. Sebahagiannya, turut sama-sama berjuang mengangkat panji-panji kebenaran dan menentang kezaliman.
PENCERAHAN :
Di peringkat global, bayangkan sumbangan beratus juta US Dolar yang telah diberikan dari Bill Gates Foundation kepada mangsa-mangsa kebuluran di bumi Afrika, yang kebanyakannya negara-negara Islam seperti Somalia dan Sudan. Begitu juga sumbangan Angelina Jolie kepada pelarian-pelarian di bumi bergolak yang juga kebanyakannya negara-negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan.
Ketepikan dulu soal niat mereka, sebab ramai juga orang Islam yang menyumbangkan sesuatu niat bukan untuk buat kebaikan pun tetapi semata-mata hendak mendapat gelaran Dato’, peluang projek dan sebagainya. Cuma persoalannya ialah, diganjari ataupun tidak segala kebaikan yang telah dilakukan oleh orang yang ‘belum’ Islam ini?
Al-Bara’ bin ‘Azib r.a dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Seorang muslim bila ditanya dalam kubur, maka ia akan mengakui tidak ada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah”. Hal ini sesuai dengan firman Allah Ta’ala yang ertinya: “Allah menetapkan orang-orang yang beriman dengan ucapan yang tetap baik sewaktu hidup di dunia mahupun di akhirat “.
(HR : Bukhari dan Muslim)
Walaupun hadis ini menyebut ‘seorang muslim bila ditanya dalam kubur’, itu tidak pula bermakna orang ‘belum’ Islam tidak akan disoal. Dalam hadis lain Nabi SAW ada menyatakan bahawa orang kafir yang mati juga akan ditanya oleh malaikat tentang baginda Rasulullah SAW. Malaikat akan bertanya; “Apakah yang kamu tahu tentang seorang lelaki yang diutus di tengah-tengah kamu?” Orang kafir akan menjawab, “Aku tak tahu”. Jawab malaikat: “Kamu tak tahu dan takkan tahu”. Seketika itu, mereka akan terus dihukum.
Maksud ‘perkataan yang benar dan tepat’ ialah kalimah syahadah. Allah akan menetapkan lidah orang beriman untuk berkata-kata yang baik (mengucap syahadah) ketika di dunia mahupun ketika hampir meninggal dunia.
Dari Anas ra dari Nabi SAW, beliau bersabda ; “Sesungguhnya orang kafir itu bila berbuat kebaikan, maka ia langsung diberi balasan yang dia rasakan di dunia. Adapun bagi orang mukmin, maka sesungguhnya Allah Ta’ala menyimpan kebaikan-kebaikannya itu untuk dibalas di akhirat, dan dia dikurnia rezeki didunia kerana ketaatannya”.
Dalam riwayat lain dikatakan: “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya kebaikan orang mukmin di mana ia diberi kurnia di dunia kerana kebaikannya itu masih akan dibalas nanti di akhirat. Adapun orang kafir, dia mendapat kurnia di dunia kerana kebaikan yang dia lakukan Allah Ta’ala sehingga bila dia pulang ke akhirat, maka dia tidak akan mendapat balasan atas kebaikan yang dia perbuat”. (HR : Muslim)
Masyaallah…ruginya mereka. Kata murabbi kepada Ust. Kay, mereka akan mendapat kemudahan dan kesenangan semasa hidup di dunia sebab mereka juga dapat sifat Ar-Rahman (Maha Pemurah) Allah SWT di dunia, itu sahaja. Tetapi akan tetap dicampakkan kedalam azab api neraka kerana tidak mendapat Ar-Rahim (Maha Penyayang) Allah di akhirat nanti yang dikhususkan kepada mereka yang beriman kepada-Nya sahaja.
Hadis ini sekaligus menafikan sifat zalim Allah terhadap orang ‘belum’ Islam yang berbuat baik. Orang kafir yang buat baik atas dasar kemanusiaan, dan ikhlas dalam perbuatannya tetap akan diberi balasan baik di dunia. (tapi di dunia sahaja) Tetapi jika dia tidak ikhlas, Allah tidak akan beri apa-apa. Orang beriman pula, jika berbuat baik ikhlas kerana Allah, maka perbuatan itu akan menjadi ibadah dan diganjari pahala padanya.
Jika tidak, perbuatan itu hanya menjadi perbuatan baik pada kacamata manusia sahaja, sedangkan disisi Allah tiada apa-apa. Perbuatan ibadah orang mukmin akan disimpan kebaikannya untuk diberi di akhirat. Terkadang Allah akan ganti ibadah yang dilakukan di dunia dengan bentuk yang sama di akhirat. Contohnya, jika kita pernah bantu orang, maka Allah akan bantu kita diakhirat. Jika kita pernah mengangkat kesusahan orang lain, maka Allah akan mengangkat kesusahan kita di akhirat kelak.
Jika kita sayangkan rakan-rakan kita dari kalangan yang masih ‘belum’ Islam, bukan sekadar berbuat baik dan menjaga kebajikan mereka sahaja. Itu belum memadai sebenarnya… Tetapi sampaikanlah keindahan Islam pada mereka. Jangan sampai di akhirat nanti, mereka akan mengadu kepada Allah; “Ya Allah, saya dan berpuluh tahun berjiran dengannya, berbelas tahun bersahabat dengannya, tetapi dia tak pernah mengajak saya kepada Islam.” Camno nak jawab bro ?
KESIMPULAN :
Sekiranya kita tiada keberanian untuk mengajak mereka untuk revert (kembali kepada asal, sebab semua manusia berasal dari Adam a.s yang beriman kepada Allah SWT) bukan convert (tukar agama) kepada Islam, apa kata forwardkan sahaja CCUK ini kepada mereka… itupun kalau anda benar-benar sayang dan kasihan kepada mereka ! Ukay’s (UST. HJ KAMIL SIDEK 0192319872)

Tiada ulasan: