Selasa, 18 November 2014

ANDAIKU TAHU AJALKU…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Khamis, 20 Muharram 1436H. ANDAIKU TAHU AJALKU…
Andai ku tahu,
Kapan tiba ajalku,
Ku akan memohon,
Tuhan tolong panjangkan umurku,
Andai ku tahu,
Kapan tiba masaku,
Ku akan memohon,
Tuhan jangan Kau ambil nyawaku,
Aku takut,
Akan semua dosa-dosaku,
Aku takut,
Dosa yang terus membayangi ku.
Andai ku tahu,
Malaikat-Mu kan menjemputku,
Izinkan aku,
Mengucap kata taubat pada-Mu.
Aku takut,
Akan semua dosa-dosaku,
Aku takut,
Dosa yang terus membayangi ku.
Ampuni aku,
Dari segala dosa-dosaku,
Ampuni aku,
Menangisku bertaubat pada-Mu.
Aku manusia,
Yang takut Neraka,
Namun aku juga,
Tak pantas di Syurga…..
PENCERAHAN :
Walau bukan nasyid lagu berlirik, tetapi, menghayatinya hatiku terusik. Bila ajal datang menjemput, pasti kita akan menggigil takut. Sama ada ketika kita di darat, udara atau mahupun di laut, pasti akan berhadapan dengan Malaikat Maut. Akan dimasukkan ke dalam kubur, akan ditanya persoalan yang siap teratur. Berdepan dengan Malaikat Munkar dan Nakir, ketika itu baru terfikir… hidup cara agama yang selama ini kita pinggir. Yakinkah kita menjawab akan persoalan yang akan ditanya. Jika gagal, kita akan dipukul sehingga terbenam 70 hasta.
Andai hari ini adalah hari terakhirku…
Buat sekujur jasadku yang bakal kaku,
Tatkala usia bernoktah di penghujung waktu,
Pabila tiba saat tepat seperti yang ditakdir-Mu,
Kematian adalah sesuatu yang pasti padaku.
Andai hari ini adalah hari terakhirku…
Tentu siangnya aku sibuk berfikir,
Tentu malamnya aku sibuk berzikir,
Biarpun anak tekakku kering kehausan air,
Tentu aku tak akan jemu melagukan syair,
Hanya pada-Mu aku ingin hampir.
Andai hari ini adalah hari terakhirku…
Tentu solatku dikerjakan di awal waktu,
Solat yang dilaku,
Sungguh khusyuk khudu’ pada-Mu,
Tubuh, minda, dan qalbu…bersatu.
Andai hari ini adalah hari terakhirku…
Setiap saat tidak akan aku persiakan,
Di setiap ruang dan kesempatan,
Hanya ku isi dengan memperbanyak amalan,
Duduk bertafakkur di atas hamparan,
Besar dan Agungnya kuasa-Mu Tuhan,
Usia dan umur yang telah Engkau berikan,
Begitu banyak dosa yang telah ku lakukan,
Begitu besar kesalahan dan kesilapan,
Begitu aku mengharapkan keampunan…
Ibnu Umar r.a berkata ; Suatu hari aku duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki dari kalangan Ansar, kemudian ia mengucapkan salam kepada Nabi SAW dan bertanya ; “Wahai Rasulullah, siapakah orang mukmin yang paling utama?” Rasulullah menjawab, “Yang paling baik akhlaknya”. Kemudian ia bertanya lagi, “Siapakah orang mukmin yang paling bijaksana?”. Baginda menjawab, “Yang paling banyak mengingat mati, kemudian yang paling baik dalam mempersiapkan kematian tersebut, itulah orang yang paling bijaksana.” (HR : Ibnu Majah, Thabrani, dan Al-Haitsami)
KESIMPULAN :
Maka marilah kita semua bersedia untuk suatu yang pasti tiba. Ingat-mengingat akan masanya. Terima kasih kepada JPJ kerana mengingatkan kita… hanya melihat pada size plat motor atau kereta, lori dan bas begitu juga. Lihat plat ingat kematian… Hebat JPJ tahu ajal masa hadapan, berapa yang mati berapa yang bukan. Tukar bentuk plat akan kena saman, tukar bentuk manusia telahpun diluluskan. Wallahu a’lam - Ini semua kerja nak lawan Tuhan… Elok-elok lelaki apsal suka jadi pondan! Ukay’s (UST. HJ. KAMIL SIDEK)

Tiada ulasan: