Selasa, 18 November 2014

AJAR vs DIDIK

ه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Sabtu, 22 Muharram 1436H. AJAR vs DIDIK
Sekejap Kementerian Pendidikan, sekejap Kementerian Pendidikan. Minister Of Education atau Minister Of Lesson? Kemuadian tukar Menteri tukar balik, kemudian tukar balik, kemudian tukar balik… Bila Menteri pening, guru-guru pening, murid-murid pening, rakyat pun pening… Semua pening !
Setiap ibu bapa tahu AJAR anak-anak mereka, tetapi bukan setiap ibu bapa mampu DIDIK anak-anak mereka. Ramai ibu bapa hari ini cuma mengajar anak, tetapi amat kurang yang mendidik anak.
PENCERAHAN :
Mengajar ialah menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dan sebagainya) kepada orang lain, mendidik, melatih, memberikan petunjuk-petunjuk kepada. Contoh, mengajar anak memilih pakaian yang sesuai mengikut jantina, lelaki pilih bahagian pakaian lelaki dan begitulah sebaliknya. Didik pula ialah pelihara, jaga (dengan hati-hati), ajar. Contoh, mendidik anak akan najis anjing.
Ust. Kay teringat sewaktu mengajar Kelas Peralihan (pelajar keturunan India) dalam matapelajaran PJK di SMK Jeram. Ust. Kay telah disapa oleh salah seorang daripada mereka apabila kerap kali Ust. Kay tidak dapat masuk ke kelas untuk mengajar mereka kerana selalu terlibat kursus dan mesyuarat peringkat negeri dan kebangsaan :
Pelajar India : Cikgu sekarang sudah banyak sibuk ya…
Ust. Kay : Yalah Cikgu kena kursus juga…
Pelajar India : Jadi Cikgu sekarang sudah ‘kurang ajar’
Ust. Kay : Aiyooo apsal awak cakap itu macam.. tara baik laa…
Pelajar India : Maaf Cikgu… maksud saya, sekarang Cikgu sudah kurang mengajar kami di kelas…
Ust. Kay : Oooo… itu macam ka… takpa nanti Cikgu kasi awak, cukup ajar !!
Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu’man), yang mendidik anaknya, 40 tahun sebelum anaknya lahir? Seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah, “Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya? Jawab bapa Imam Abu Hanifah, “Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan.”
Bagi kita, kalau didengar pernyataan ini tentu pelik tetapi ia tidaklah mustahil. Bagaimana mungkin manusia yang belum dilahirkan sudah dididik? Namun apa yang ingin disampaikan oleh Tsabit (bapa Imam Abu Hanifah) ialah dia sendiri telah diasuh, manakala isterinya juga sudah dididik dan Hanafi sendiri sudah dididik sejak dari kandungan lagi.
Apa yang dilihat, apa yang disentuh, apa yang kita tutur serta amalan kita sering diperhatikan oleh anak-anak. Jangan risau jika anak-anak kita tidak mengikut apa yang kita cakap. Tapi kita perlu lebih risau jika anak kita mengikut apa yang kita buat. (khususnya yang tak baik) Mereka melihat perlakuan dan mendengar pertuturan kita dan semua ini menjadi bahan-bahan belajarnya. Secara langsung atau tidak langsung.
Pada hari ini pelbagai jenis media, sama ada media sosial atau media elektronik seperti televisyen, radio, komputer dan sebagainya menjadi sumber anak belajar secara tersendiri. Oleh itu kita wajar sentiasa bersama anak-anak supaya apabila ada perkara negatif yang ditayangkan di televisyen atau dilihat di internet, ia dapat disaring dan tidak menjadi bahan untuk anak kita belajar. Maksudnya, dikhuatiri anak kita akan belajar dari luar bukan dari dalam, iaitu dari ibu bapanya sendiri.
Berbeza dengan mendidik yang mempunyai pengertian yang lebih mendalam, memberitahu, membimbing, mengasuh dan menunjukkan cara yang betul dan mana yang tidak betul. Ini bermakna, proses didik memerlukan seorang penunjuk ajar, yang juga digelar sebagai pendidik. Sama-sama menonton televisyen, melayari internet, wajibkan anak-anak ‘add’ dalam group WhatsApp, Telegram, Twitter, Facebook anak-anak, supaya kita dapat memantau, menegur, menasihat sekaligus mendidik anak-anak kita.
KESIMPULAN :
Belajar supaya pandai, terdidik supaya tidak memandai-mandai. Mengajar apa yang betul, mendidik untuk sentiasa betul. Wallahi a’lam - Belajar mendidik ! Ukay’s (UST. HJ. KAMIL SIDEK)

Tiada ulasan: