Isnin, 10 November 2014

RAJIN @ PANDAI

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Isb, 16 Muharram 1436H. RAJIN @ PANDAI
Rajin adalah berkaitan kesungguhan, ketekunan, orang yang suka bekerja atau belajar. Merajinkan diri ialah berusaha benar-benar dan mengusahakan diri. Pandai pula ialah adalah berkaitan cerdik, pintar, bijaksana dan bestari. Memandaikan ialah membuat, membina dan menjadi pandai. Tapi kalau memandai-mandai bermaksud membuat sesuka hati dan mengikut ‘syok’ sendiri.
PENCERAHAN :
Semua orang ingin menjadi pandai dan suka kepada orang yang pandai. Semua orang suka kepada orang yang rajin (terutamanya majikan) tetapi tidak semua orang ingin jadi rajin. Kepada sesiapa yang pandai belum tentu akan mendapat pekerjaan. Ramai mahasiswa yang menganggur. Tetapi kepada sesiapa yang rajin pasti akan dapat pekerjaan. Pandai cari kerja pun boleh dapat kerja…
Kerap kali kepandaian akan dikaitkan dengan kesenangan. Ibubapa kerap berpesan kepada anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh supaya menjadi pandai. Bila dewasa nanti, mendapat pekerjaan yang baik supaya hidup menjadi senang. Tidak hairanlah semua orang ingin menjadi pandai. Untuk menjadi pandai sudah tentu memerlukan setiap dari kita belajar rajin-rajin. Kalau tak rajin belajar, macam mana nak pandai? Jadi, mana yang lebih penting? Rajin atau Pandai?
Sekarang ini kepandaian juga diukur dari pencapaian tertinggi dalam pembelajaran. Sesaorang yang mempunyai ijazah kedoktoran atau PhD atau mempunyai ijazah sarjana atau master akan dikatakan pandai. Ibubapa mana yang tidak berbangga kalau anak-anak mereka sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat master. Malah, belum lagi mendapat ijazah sarjana diperkatakan pula ingin membuat ijazah kedoktoran… Ok lah tu, asalkan jangan sombong pula dengan kepandaian itu. Sepertimana firman Allah SWT :
قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِي أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا وَلَا يُسْأَلُ عَن ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ
"Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka." (QS. Al-Qasas: 78)
Ramai orang yang tidak pandai iaitu yang tidak cemerlang dalam akademik juga boleh berjaya dalam kehidupan. Bermakna mereka ini menjadi kaya raya, jutawan dan ‘beruang’. Contoh, pengusaha Restauran Cendol Durian Borhan. Ini diperkatakan dalam peribahasa ‘ringan tangan berat perut’. Ini bermaksud setiap yang rajin pasti akan berjaya. Cuma, jarang ibu bapa yang berbangga mendapat anak yang rajin tapi tak pandai.
Kini sampailah masanya untuk kita raikan kedua-duanya. Pandai dan rajin. Ia ada kaitan dengan tajuk CCUK yang pernah Ust. Kay sentuh ialah Alim vs Abid. (Ilmu dan Amal) Orang alim mewakili orang yang pandai dan orang abid mewakili orang yang rajin beribadat. Nak kata alim tak penting, sangat salah, nak kata abid tak penting pun salah juga. Maka marilah kita jadi orang alim yang abid, mudah-mudahan insya Allah !
KESIMPULAN :
Pandai saja tapi tak rajin pun tak guna. Rajin saja tapi tak pandai pun tak guna. Contoh, orang pandai dia akan ‘work smart’. Orang rajin dia akan ‘work hard’. Kalau dapat kita pandai dan rajin ‘work smart and work hard’. Wallahu a’lam - Jangan pandir sudah ! Ukay’s (UST. HJ. KAMIL SIDEK)
Sumbangan ke Pondok Balai Ilmu SAFC, Pusat Pengajian Celik Al-Quran : AKAUN I-TAWFIR BANK RAKYAT : 220851161506 AKAUN MAYBANK ISLAMIC : 162133298848 CIMB ISLAMIC : 7603323870 Jazakumullahu Khairan Kathiran Jazak !

Tiada ulasan: