Isnin, 22 September 2014

ULAMA’ vs ULAMA’ (2)

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Isnin, 27 Zulkaedah 1435H. ULAMA’ vs ULAMA’ (2)
Allah SWT telah berfirman :
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِين
“Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia itu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak menjadikan yang demikian) dan kerana itulah mereka sentiasa berselisihan.” (QS Hud : 118).
Perbezaan pendapat merupakan satu perkara yang lumrah dalam kehidupan. Hakikatnya perbezaan pendapat ini merupakan satu tanda kebesaran Allah SWT yang mencipta makhluk-Nya dengan keunikan dan kepelbagaian sifat dan ragam. Perbezaan ini juga merupakan satu ketetapan Allah SWT atau disebut sebagai sunnatullah.
PENCERAHAN :
1. Kebanyakan perbezaan pendapat di kalangan ulama berlaku dalam masalah-masalah fekah. Khalifah Umar bin ‘Abd ‘Aziz pernah menyebut bahawa beliau melihat fenomena perbezaan pendapat dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW sebagai satu hal yang baik, kerana ia memberi rukhsah (keringanan) kepada umat. Perbezaan pendapat dalam kalangan ulama menjadi sebab keluarnya umat Islam daripada kesempitan masalah dalam beberapa isu fekah.
2. Tiada istilah perbezaan atau perselisihan dalam bab akidah. Pegangan Ahli Sunnah Wa Al-Jama’ah merupakan satu pegangan yang menyatukan seluruh umat Islam di bawah kalimah tauhid yang satu. Al-Qur’an dan Sunnah merupakan dua sumber pegangan akidah yang jelas tanpa perlu tafsiran yang pelbagai daripada kalangan ulama. Inilah yang menjadi asas keutuhan umat Islam.
3. Elakkan diri daripada penguasaan hawa nafsu ketika menangani perselisihan pendapat. Mereka perlu menyatakan pendapat berdasarkan hujah ilmu yang disandarkan kepada al-Qur’an dan Sunnah. Kedua-dua pihak perlu mempunyai hujah yang kukuh.
4. Sesi perbincangan ilmiah dalam bentuk dialog dan seminar sebenarnya merupakan antara cara terbaik ketika berdepan dengan isu perselisihan pendapat. Namun, perlu diingatkan bahawa setiap pihak yang berselisih, perlu sedar bahawa perbincangan yang diadakan adalah untuk mencari titik persamaan dan menjauhkan jurang perbezaan. Ia bukan untuk menentukan pihak mana yang betul dan pihak mana yang salah.
5. Antara adab yang perlu dijaga ketika membincangkan isu khilaf ialah tidak melabel pihak yang tidak sependapat dengan label-label yang buruk. Malah ada dalam kalangan mereka yang berselisih, sanggup melabel pihak lain dengan pelbagai label seperti ‘munafik haraki’, golongan Erdogan dan sebagainya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, boleh jadi mereka lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula wanita-wanita (memperolok-olokkan) wanita-wanita lain, boleh jadi mereka lebih baik daripada mereka, dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri, dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk nama (panggilan) ialah (panggilan) yang fasik (jelek) sesudah iman, dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.” (QS al-Hujurat : 11)
6. Akhirnya, semua pihak perlu sedar bahawa umat Islam adalah umat yang satu. Disatukan dengan kalimah tauhid yang memperakui keesaan Allah SWT dan kebenaran Rasul-Nya. Maka umat Islam perlu bersikap positif dan profesional ketika berdepan dengan masalah khilaf atau perbezaan pendapat, tidak kira sama ada mereka yang terlibat ini daripada kalangan orang awam mahupun ulama’.
KESIMPULAN :
Apa juga bentuk perpecahan dan punca yang membawa kepadanya perlu dijauhkan kerana perpecahan itu hanya akan melemah dan menghancurkan Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jangan kamu berselisihan kerana itu kamu menjadi lemah, dan hilang kekuatan kamu serta bersabarlah (kerana) Allah bersama orang yang sabar.” (QS al-Anfal : 46) Wallahu a’lam - Bersatu bukan untuk berpecah, berpakat bukan untuk berbalah ! Ukay’s

Tiada ulasan: