Khamis, 25 September 2014

BARULAH TENANG…!

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Khamis, 30 Zulkaedah 1435H. BARULAH TENANG…!
Bila kita rasa tidak tenang atau jiwa kacau, carilah ketenangan kerana hanya dengan ketenangan sahaja kita akan dapat masuk syurga Allah dengan keredhaan dari-Nya. Iaitu pada hari tiada memberi manfaat harta-benda dan anak-pinak (kepenak gawe anak -Bahasa Jawa) kecuali…?
إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
"Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang tenang (selamat sejahtera dari syirik dan penyakit munafik)." (QS Ash-Shuara : 89)
PENCERAHAN :
Di antara tips untuk mendapat ketenangan tersebut ialah; (panjang sikit ye… Panjang ikut keperluan, pendek ikut kesempatan. Bacalah CCUK dengan tenang)
1. Membaca dan mendengar bacaan al-Quran. Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, dia mengeluh: “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tak enak, tidur pun tidak nyenyak.” Ibnu Mas’ud menjawab: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat:
PERTAMA, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.
KEDUA, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah.
KETIGA, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu.
Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali. Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah SAW itu.
2. Menyayangi orang miskin. Rasulullah SAW memerintahkan kepada muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin. Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa malaikat selalu mendoakan orang yang dermawan:
“Setiap pagi hari dua malaikat senantiasa mendampingi setiap orang;
MALAIKAT PERTAMA berdoa: “Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang berinfak.”
MALAIKAT KEDUA pun berdoa: “Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang bakhil itu kebinasaan.”
Daripada hadis berkenaan dapat disimpulkan bahawa orang yang dermawan itu akan memperoleh dua balasan ;
a) Mendapat ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain.
b) Mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan daripada Allah.
3. Melihat orang yang di bawah, jangan lihat ke atas. Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah meskipun tampak sedikit. Rasa syukur itu akan muncul apabila kita senantiasa melihat orang yang keadaannya lebih rendah daripada kita, baik dalam hal kebendaan, kesihatan, rupa, pekerjaan dan pemikiran.
4. Menjaga silaturahim. Hubungan yang baik di dalam keluarga, dengan teman-taman mahupun dengan tetangga akan menciptakan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan meleraikan sifat dengki, buruk sangka, iri hati, besar diri dan sebagainya.
5. Banyak mengucapkan “La hawla wa la quwwata illa billah.” Sumber ketenangan jiwa yang hakiki bersumber daripada Allah. Oleh itu, hendaklah kita selalu menghadirkan Allah dalam segala keadaan, baik dalam keadaan senang ataupun susah. Kuatnya hubungan kita dengan Allah akan membuatkan jiwa seseorang itu menjadi tenang, kuat dan tidak mudah goyah.
6. Mengatakan yang haq (benar) sekalipun pahit. Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan tercapai apabila kita tidak melanggar nilai kebenaran. Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang yang kerap melakukan maksiat dalam hidupnya, mereka akan berasa gelisah walaupun nampak senang dan ceria.
7. Jangan ambil peduli terhadap celaan orang lain asalkan yang kita lakukan benar kerana Allah. Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerana selalu mengikuti penilaian orang terhadap dirinya.
8. Tidak meminta-minta pada orang lain. Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain kerana orang yang berdikari jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan. Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah.
9. Menjauhi hutang. Rasulullah SAW dengan tegas mengatakan: “Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasai ketenangan!”
Sahabat bertanya: “Bagaimana boleh terjadi seperti itu!” Sabdanya: “Kerana hutang.”
Begitulah kenyataannya. Orang yang berhutang akan senantiasa dihantui ketakutan kerana dia dikejar-kejar untuk segera membayarnya. Inilah salah satu faktor yang membuat ramai orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah SAW juga mengatakan: “Hendaklah kamu jauhi hutang kerana hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari.”
KESIMPULAN :
Mengapa seseorang mudah berasa tertekan? Salah satu faktornya kerana dia selalu dibayangi fikiran negatif, selalu mencela dan menyesali kekurangan diri. Padahal, kita diberikan Allah pelbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah ungkapan keluh kesah yang membuat muka berkerut, badan lemah, ubahlah dengan ungkapan senang dan yang menenangkan. Wallahu a’lam - Tenang zzzzzzzzzzzz… Ukay’s

Tiada ulasan: