Selasa, 23 September 2014

BIARLAH RAHSIA…!

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Selasa, 28 Zulkaedah 1435H. BIARLAH RAHSIA…!
Setiap orang pasti ada rahsianya sendiri, sama ada rahsia itu berbentuk sesuatu yang sangat penting bagi dirinya atau sesuatu yang amat memalukan jika diketahui oleh orang lain. Ada juga rahsia dalam bentuk sifat-sifat tertentu pada diri seseorang seperti rahsia pada tahi lalat, rahsia pada warna kegemaran, bentuk tulisan dan sebagainya. Ini rahsia yang bukan rahsia sebenarnya… sebab tidak penting !
PENCERAHAN :
Rahsia yang penting mestilah disimpan baik-baik, walaupun sesudah itu berlaku pergeseran atau perselisihan faham antaranya dengan kita, namun rahsianya mestilah dijaga. Jika kita bocorkan juga, maka itu adalah sikap orang yang tercela zahirnya dan kotor batinnya. Apatah lagi membocorkan rahsia sehingga boleh mengkucar-kacirkan jamaah Islam.
Islam memandang berat amalan membocorkan rahsia ini. Amalan mendedahkan rahsia adalah kegiatan keji dan mungkar, kerana boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia dan sehingga boleh menjejaskan keselamatan sesebuah negara. Sebab itulah Akta Rahsia Rasmi (OSA) diwujudkan. Tetapi jangan pula akta ini digunakan untuk menutup penyelewengan pemimpin-pemimpin yang ada. Salah tetap salah !
Dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah SAW mengingatkan kita dengan sabdanya ;ٌ “Apabila seseorang bercakap sesuatu ucapan, kemudian ia beredar dari majlis itu, maka ia telah menanggung suatu amanah.” (HR : Abu Dawud, al-Adab: Fi naql al-Hadith, bil. 4225)
Ada sesetengah rahsia wajib dirahsiakan, mungkin kerana masanya belum tiba untuk diketahui umum dan perkara yang langsung tidak perlu diketahui umum hingga bila-bila, seperti rahsia yang berkaitan hal peribadi yang mengaibkan atau rahsia hubungan dalam ‘kelambu’ suami isteri terutamanya. Apa yang berlaku antara mereka sepatutnya tersimpan dalam ‘bilik kebal’ mereka.
Sejarah banyak mencatatkan rahsia yang ditangani secara bermaruah dan perlu dijadikan contoh dan iktibar. Antaranya, kisah Umar Ibn al-Khattab ketika mempelawakan puterinya Hafsah untuk dikahwinkan dengan Abu Bakar al-Siddiq dan kemudiannya kepada Uthman selepas kematian suaminya.
Abu Bakar dan Uthman menolak pelawaan itu dengan penuh rahsia, kerana pada suatu ketika mereka pernah mendengar Rasulullah SAW menyebut nama Hafsah. Rahsia ini tidak sanggup dibocori oleh Abu Bakar dan Uthman, biarpun mereka terpaksa berjauh hati seketika dengan Umar Ibn al-Khattab.
Seorang Muslim yang mematuhi aturan akhlak al-Quran, harus berasa malu untuk membuka rahsia seseorang apatah lagi rahsia jamaah yang dianggotainya. Kerana al-Quran sering mengingatkan mereka dengan amaran yang begitu keras. Antaranya firman Allah;
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
"Sesungguhnya orang yang suka membuka rahsia-rahsia buruk dalam kalangan orang yang beriman, akan beroleh seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah mengetahui segala perkara, sedang kamu tidak mengetahuinya." (QS Al-Nur : 19)
Apatah lagi laporan negatif yang membabitkan maruah, kehormatan, kepemimpinan dan thiqah seseorang pemimpin atau ulama’ boleh tercemar kerananya. Pembocoran rahsia ini boleh berlaku dalam bentuk apa sekalipun sama ada ucapan, SMS atau ‘printscreen’ transkrip perbualan seseorang sekalipun.
Lebih-lebih lagi dalam konteks berorganisasi atau berjamaah, memperbaiki kelemahan yang ada bukannya dengan cara mencari-cari kelemahan dan memberitahunya kepada umum sehingga masyarakat memandang serong pada jamaahnya sendiri, ini adalah suatu perkara yang sangat merugikan dan bertentangan dengan syariat Islam.
KESIMPULAN :
Baginda SAW pernah mengingatkan supaya tidak menyakiti hati orang mukmin dan jangan mencari-cari rahsia mereka, kerana orang yang membuka rahsia saudaranya, nanti Allah akan membuka rahsianya pula. Wallahu a’lam - Tiada rahsia antara kita… Ukay’s

Tiada ulasan: