Jumaat, 12 September 2014

PASAR MALAM

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Jumaat, 17 Zulkaedah 1435H. PASMA
Pasar Malam (PasMa) adalah satu tempat khas yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk para peniaga secara kecilan, berniaga pada waktu malam pada hari-hari yang telah ditetapkan. Pelbagai jenis barangan dijual dari makanan hinggalah pakaian dan apa sahaja barang-barang yang boleh dijual. Biasanya barangan yang dijual berkualiti rendah dan berharga murah. Ada juga barangan ‘tiruan’ atau palsu turut dijual sebab susah untuk dikawal. Suasananya pula agak kurang selesa, hiruk-pikuk dengan pengunjung yang keluar-masuk.
Berbeza dengan Pasaraya Aman Selesa (PAS). Selain barang jualan yang terbaik dan tersusun rapi, berkualiti dan mudah untuk didapati, suasananya juga selesa dengan alat pendingin hawa berfungsi setiap masa. Telah beroperasi sekian lama. Tiada jerit pekik para peniaga yang ingin ‘mendapatkan perhatian’ agar para pengunjung membeli barang jualan. Pemilik pasaraya pula wajib mematuhi peraturan yang ketat PBT, barang jualan mesti asli atau ori, lebih berdisiplin, kemas dan berpandangan jauh untuk memajukan lagi PASarayanya pada masa hadapan. PasMa pula boleh buka dengan segera boleh tutup bila-bila masa… ikut suka !
PENCERAHAN :
Seorang muslim tidak seharusnya mencintai atau membenci sesuatu kerana hawa nafsunya. Akan tetapi mencintai dan membenci sesuatu kerana-Nya. Mencintai apa yang dicintai oleh Allah dan membenci apa yang dibenci oleh Allah. Seorang muslim juga harus mencintai apa saja yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah dan membenci apa saja yang dapat menjauhkan dirinya dari Allah.
Rasulullah SAW bersabda, yang ertinya; ”Tempat yang paling baik di sisi Allah adalah masjid dan tempat paling dimurkai-Nya adalah pasar-pasar.” (Hadis Riwayat Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la dan al-Hakim. Isnad sahih)
Berdasarkan hadis ini, adalah wajar untuk kita membenci pasar, tidak merasa senang untuk terus berada di dalamnya berlama-lama dan tidak mendatanginya kecuali kerana ada keperluan dan hajat yang mengharuskan untuk ke sana. Apatahlagi mendatanginya pada waktu maghrib yang sangat tidak sesuai bagi mereka yang mengaku beriman kepada Allah.
Mengapa? Kerana pasar adalah tempat yang melalaikan, tempat tabarruj, tempat ‘display’ aurat dan tempat berlakunya ikhtilat (campur baur lelaki dan perempuan). Walaupun ia merupakan tempat para peniaga mencari rezeki yang halal dan tempat yang mudah dan murah untuk orang ramai mencari barang keperluan dapur misalnya, tetapi ‘biah’nya sangat tidak sesuai untuk menjaga iman.
[JANGAN TERLEPAS ! DAPATKAN BUKU CCUK TERBITAN KARANGKRAF BILA TELAH BERADA DI PASARAN NANTI… INSYA ALLAH!]
Imam Nawawi pernah berkata ; “Tempat yang paling dibenci Allah adalah pasar-pasar kerana pasar adalah tempat penipuan, pembohongan, riba, sumpah palsu, ingkar janji dan berpaling dari zikrullah (mengingati Allah).
Salman al-Farisi berkata, “Jika engkau mampu, jangan sekali-kali menjadi orang yang pertama kali masuk pasar dan paling akhir keluar darinya. Kerana di situlah medan pertempuran dengan syaitan dan di sana syaitan memacakkan benderanya.” (Atsar Riwayat Muslim)
Meskipun telah kita ketahui berbagai fitnah, kemungkaran dan bahaya di dalam pasar, namun kita terkadang perlu juga untuk pergi untuk membeli berbagai keperluan barang dapur khususnya seperti ikan-ikan dan sayuran segar. Nabi SAW tidak melarang umatnya untuk masuk ke pasar. Cuma ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, antaranya ialah;
1) Ada keperluan yang hendak dibeli. Bukan sekadar berjalan-jalan ‘cuci mata’ tetapi tidak cuci hati, terang mata tetapi gelap hati.
2) Meminta izin bagi wanita. Seorang wanita, ketika hendak pergi ke pasar hendaklah meminta izin suami atau walinya. Juga jangan pergi sendirian, agar tidak menjadi sasaran kejahilan dan kejahatan orang tidak bertanggungjawab.
3) Wajib menutup aurat. Harus diingat bahawa di pasar banyak lelaki yang hatinya berpenyakit dan penggoda para wanita.
4) Berdoa ketika masuk pasar. Dari Umar bin Khatab r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda ;
مَنْ دَخَلَ سُوقاً مِنَ الأَسْوَاقِ، فَقَالَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ حَسَنَةٍ، وَمَحَا عَنْهُ أَلْفَ أَلْفِ سَيِّئَةٍ
"Siapa yang membaca doa di atas ketika masuk pasar, Allah akan mencatat untuknya satu juta kebaikan, dan menghapuskan darinya satu juta keburukan.” (HR : At-Thabrani dalam ad-Du’a 2/1167/793 Albani - Isnad Hasan)
5) Menahan pandangan. Al-Qur’an Surah An-Nur ayat 30-31 yang memerintahkan setiap mukmin dan mukminah untuk menjaga pandangan.
6) Bersopan-santun. Iaitu berjalan dengan baik dan tenang, tidak banyak menoleh ke kanan dan ke kiri dan tidak memakai ‘parfume’ bagi wanita.
7) Berjimat-cermat. Berhemah dalam berbelanja merupakan bukti seseorang menjaga nikmat yang diberikan Allah dan bukti ia bersyukur. Sedangkan isyraf (boros) dan tabdzir (menghamburkan harta) merupakan cerminan sikap menyia-nyiakan nikmat Allah.
8) Memilih waktu yang sesuai. Elakkan ke pasar pada waktu solat, waktu maghrib dan waktu ramai orang bersesak-sesak supaya dapat menjauhi ikhtilat.
9) Amar Ma’ruf Nahi Mungkar (AMNM). Mengingkari kemungkaran dengan hati yang ada di pasar adalah selemah-lemah iman.
10) Tidak berlama-lama di pasar. Pergi dengan segera dan pulang dengan segera setelah segala keperluan yang hendak dibeli diperolehi.
PENCERAHAN :
Pasar Malam (PasMa), senang nak tubuh, senang nak runtuh. PASaraya insya Allah susah payah nak tubuh pastinya lebih kukuh. Ambil yang jernih buang yang keruh ! Wallahu a’lam - Macam tak ‘faham’ jer…! Ukay’s

Tiada ulasan: