Khamis, 25 September 2014

BELUM TENTU TENANG…!

تُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Rabu, 29 Zulkaedah 1435H. BELUM TENTU TENANG…!
Ketenangan hati sangat penting bagi setiap insan. Pelbagai cara untuk manusia mencari ketenangan. Ada yang berjam-jam melihat ikan Arowana kesayangannya di dalam akuarium, ada yang pergi ke tepi pantai, jungle trekking jauh ke dalam hutan atau mendaki ke puncak gunung semata-mata hendak mencari ketenangan tersebut. Dapat title MB (Mak Bapak) pun belum tentu dapat ketenangan.
PENCERAHAN :
Contohnya, seorang anak kecil akan berasa tenang apabila di sisi ibu dan bapanya. Kerapkali kita melihat senario seorang kanak-kanak yang menangis kerana terpisah daripada ibu dan bapa ketika membeli-belah di pasar raya. Kenapa? Adakah kerana fizikalnya cedera? Tentu tidak, tetapi `ketenteraman’ dan `ketenangan hatinya’ yang tercedera.
Kita juga pernah melihat bagaimana seorang anak kecil yang menangis kerana lututnya berdarah kerana jatuh, berhenti menangis hanya kerana si ibu berkata: “Dah, jangan menangis sikit je tu! Nanti ibu sapukan ubat!”.
Adakah dengan berkata sedemikian, sakit lukanya hilang? Tidak! Sakit luka pada lututnya masih terasa tetapi tangisannya terhenti kerana rasa sakit pada jiwa dan emosinya diubati dan hilang diganti dengan rasa tenang.
Ini menunjukkan ketenteraman hati dan ketenangan hidup adalah satu kuasa ajaib yang diperlukan dalam hidup. Seseorang itu akan berasa aman dan tenang apabila mengetahui yang di sana ada satu ‘kuasa’ yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancamnya. Seorang yang hebat sekalipun, tidak akan dapat menggunakan kepintarannya jika jiwanya kacau dan tidak tenang.
Seseorang yang menjalani hidup dengan hanya melihat bahawa Tuhan ialah Tuhan dan aku ialah aku, sama sekali tidak sama dengan seseorang yang hidup di atas muka bumi ini dengan mengenal Tuhan ialah satu-satunya Tuhan, dan aku ialah di antara hamba-hambaNya.
Seseorang yang melihat Tuhan dengan segala kebesaran dan kekuasaan-Nya berada hampir dengan dirinya, pasti akan berasa tenang dan tenteram. Mereka yang benar-benar membina kekuatan dan nur kerohanian yang jernih, pasti tenang hidupnya dan dapat kekentalan serta keharmonian emosi. Allah SWT berfirman ;
هُوَ الَّذِي أَنزَلَ السَّكِينَةَ فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَّعَ إِيمَانِهِمْ وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
"Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa marah angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada, pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (QS al-Fath : 4)
Antara sifat-sifat mazmummah yang mampu menghilangkan ketenangan dihati ialah :
1. Pemarah - Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hatinya tentu tidak pernah tenang.
2. Pendendam - Merasa dendam itu boleh memuaskan diri sedangkan memaafkan itu lebih baik kerana akan menenangkan.
3. Hasad dengki - Tidak dapat menjadi PM (Peniaga Market) dapat jadi MB (Meniaga Burger) pun jadilah… jika tidak dapat juga cari jalan, agar isterinya tetap menjadi MB bukan orang lain…
4. Tamak - Orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak.
5. Tidak sabar - Allah menjanjikan setiap kesulitan itu ada kemudahan bagi yang sabar.
6. Ego - Atau sombong adalah ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Rasa dirinya lebih layak dari orang lain
7. Riak - Melakukan sesuatu itu bukan ikhlas kerana Allah tetapi kerana ingin dipuji.
8. Cinta dunia - Buruan tanpa kesudahan, hasil tanpa kepastian, berakhir dengan penyesalan.

KESIMPULAN :
Perkara yang meragut ketenangan hati kita sebenarnya bukanlah disebabkan oleh kemiskinan, musibah, penyakit semata-mata tetapi ialah sifat mazmumah yang ada pada diri kita. Wallahu a’lam - Tenanglah sangat ! Ukay’s

Tiada ulasan: