Isnin, 29 September 2014

SELAMAT DATANG & SELAMAT JALAN !

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Isnin, 4 Zulhijjah 1435H. SELAMAT DATANG & SELAMAT JALAN !
Jazakumullahu khairan kathiran, semoga Allah SWT menambahkan kebaikan yang banyak kepada pihak JPN Sabah dan Jabatan Penjara Pusat Kota Kinabalu kerana telah menjadi tuan rumah Program Hijrah Kasih 3 anjuran BPI KPM dan Jabatan Penjara Malaysia yang terbaik. Kemesraan dan layanan istimewa yang diberikan masih terasa sehingga sekarang ini…
PENCERAHAN :
Menepati adab dan akhlak menerima tetamu yang dianjurkan dalam Islam iaitu menerimanya dengan senyuman, wajah yang ceria dan mengucapkan kata-kata selamat datang dan sambutan yang mesra.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (HR: Bukhari dan Muslim)
Khususnya sepanjang tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa 3 hari iaitu;
1) Layanan istimewa selama 3 hari 2 malam mengikut kemampuan tuan rumah dengan menyediakan timpat tinggal yang sesuai dan makan-minum yang sempurna.
2) Layanan biasa pada hari ke 4 dan seterusnya, sama seperti yang diberikan kepada ahli keluarga sendiri dan ianya dianggap sebagai sedekah selepas dari tempoh yang diwajibkan.
Tuan rumah juga perlu menyegerakan hak tetamu antaranya ialah menghidangkan air minuman, makanan dan sebagainya. Jangan lambat dalam menyediakan hidangan sehingga tetamu kelaparan atau sehingga mereka balik.
Menghidangkan makanan merupakan adab yang dianjurkan dengan syarat;
1. Tidak berlebihan dalam menjamu tetamu
2. Tuan rumah tidak perlu memberatkan diri di luar kemampuannya dalam menyediakan makanan kepada tetamu.
3. Makanlah bersama tetamu kerana tetamu malu makan bersendirian.
4. Disertai dengan niat yang ikhlas bukan rasa terpaksa.
Luar biasa baik belanja tetamu makan di restauran istimewa di luar, tetapi melayani sendiri tetamu merupakan satu adab yang dianjurkan dalam al-Quran, sebagaimana dalam kisah Nabi Ibrahim a.s. Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian ia masuk menemui keluarganya serta membawanya keluar seekor anak lembu (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: ‘Silakan makan.’” (QS al-Dhariyat: 26 - 27)
Antara layanan baik yang boleh diberikan kepada tetamu ialah menyediakan tempat tidur yang selesa, memastikan anak-anak kita tidak membuat bising, tidak menganggu tetamu,
sentiasa tersenyum dengan muka yang manis. Mempersilakan bermalam di tempat yang paling selesa, antaranya;
1) Jika tetamu wanita, tempat yang tidak menyingkap aurat mereka
2) Tempat yang tidak tersebar bau yang kurang menyenangkan dan kotor (contoh, tidak meletakkan mereka di bilik yang bersebelahan dengan ‘peceren’ @ tempat takungan air dapur)
3) Layanan luar biasa baik tetamu diberikan ‘master bedroom’ tuan rumah.
Kemudian, elakkan melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah tetamu seperti melunjurkan kaki ke arahnya. Batas-batas pergaulan bersama tetamu juga hendaklah tetap dijaga dan sentiasa berpakaian bersih, kemas dan menutup aurat
Menghantar ke muka pintu apabila tiba waktu tetamu akan pulang, sebagai tanda memuliakan dan mengormatinya. Sebaiknya juga, tuan rumah tidak terus masuk ke rumah dan mengunci pintu sejurus tetamu keluar rumah kecuali setelah tetamu sudah berlalu pergi atau kenderaannya sudah bergerak. Layanan luar biasa baik, menghantar tetamu sehingga ke lapangan terbang atau ke stesyen bas dan teksi yang diperlukannya.
KESIMPULAN :
Melayan tetamu dengan cara yang baik atau luar biasa baik insya Allah, akan murah rezeki, mendapat rahmat dan berkat daripada Allah SWT. Terima kasih Tuan Simon, Pn. Nasimah, Emila dan Murada, Ust. Ismail Anam, Ust Razali, Ust. Sabari, Ust. Esibi Hilux, Ust. Sulaimin Keningau, Ust. Syakir Innova dan Ust Hadzir Payau. Wallahu a’lam - Tetamu yang bertamu di Pasar Tamu. Ukay’s

Tiada ulasan: