Rabu, 17 September 2014

SELAMAT HARI MALAYSIA

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Selasa, 20 Zulkaedah 1435H. HAPPY BIRTHDAY MALAYSIA !
[ALHAMDULILLAH… BUKU CCUK TERBITAN KARANGKRAF TELAH MENDAPAT ISBN UNTUK DIPASARKAN…TUNGGU KEMUNCULANNYA !]
Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Pembentukan Tanah Melayu dan kejayaan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 adalah hasil usaha penyatuan tiga kaum utama; Melayu, Cina dan India berdasarkan tolak ansur sesama mereka. Atas dasar kesepakatan inilah juga yang memberi asas yang kukuh dalam pembentukkan Malaysia kemudiannya. Namun, yang peliknya masalah utama dan paling besar sehingga hari ini setelah 57 tahun merdeka ialah soal perpaduan.
PENCERAHAN :
Dalam usaha menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam, model negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah SAW hendaklah dijadikan contoh. Sebagaimana pada awal-awal hijrah, orang-orang Islam merupakan golongan minoriti berbanding berbanding dengan golongan Nasrani dan Yahudi yang mendominasi Madinah ketika itu.
Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, ditambah dengan keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam yang disesuaikan dengan masyarakat majmuk ketika itu, maka tertegak akhirnya sebuah negara yang kuat, aman dan damai, bersatu padu di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW.
Usaha pertama Baginda Rasulullah SAW untuk membina masyarakat yang utuh di Madinah, ialah dengan mendirikan masjid sebagai asas perpaduan. Seterusnya Baginda mempersatukan golongan-golongan yang telah beratus tahun bermusuhan sesama sendiri, antaranya ialah puak Aus dan Khazraj.
Seterusnya Baginda mempersatukan penduduk asal Madinah (Al-Ansar) dengan yang baru datang daripada Makkah (Al-Muhajirin) Hasilnya, terbentuklah satu kesatuan masyarakat yang bersatu padu yang disatukan dengan ikatan ukhuwah Islamiah bercirikan panduan dari Allah Yang Maha Satu.
Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Dan yang mempersatukan hati mereka. Walaupun kamu membelanjakaan semua harta kekayaan yang berada dibumi , nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesunguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS Al- Anfal : 63)
Peribahasa yang biasa kita dengar, ‘Bersatu Teguh Bercerai Roboh’ merupakan ungkapan ke arah perpaduan. Nabi SAW sendiri sentiasa memupuk dan menggalakkan umat Islam agar menghayati nilai-nilai perpaduan seperti kasih-sayang, hormat menghormati, dan bertolak ansur terutamanya sesama Islam.
Untuk memupuk perpaduan sejati memang bukannya mudah tetapi bukanlah mustahil. Ianya boleh dicapai dengan ‘tatihan’ (langkah pertama) seperti berikut :
1) Semua pihak perlu mengikhlaskan diri semata-mata kerana mencari keredhaan Allah. Bukannya ada ‘udang di sebalik mee’ (hidden agenda) untuk mendapatkan sesuatu kepentingan sama ada politik atau lainnya. Pembangkang jangan asyik membangkang tak tentu pasal…mana yang baik sokonglah ! Pemerintah pula jangan terasa ‘maksum’.
2) Semua pihak yang sedang berkuasa hendaklah berlaku adil kepada semua pihak. Sekiranya yang miskin itu rakyat yang berketurunan Cina atau India sekalipun, jika layak hendaklah dibantu. Kebetulan ramai yang miskin ialah kaum Melayu, maka bantulah tanpa mengenal sempadan tempat atau ‘bulu’. Ingat ! Pihak anda mungkin berkuasa pada suatu negeri tetapi pihak anda juga adalah pembangkang pada negeri yang lain. Tiada istilah ‘Kerajaan Pembangkang’ sebenarnya, dalam sistem negara kita, yang menang jadi kerajaan dan yang kalah jadi pembangkang.
3) Setiap individu muslim hendaklah melihat sesuatu perkara dengan neraca fikiran yang benar, berlapang dada dan tidak melihat dengan menggunakan ‘kacamata’ kepartian masing-masing. Di samping itu individu muslim hendaklah berada di atas ikatan perpaduan yang sebenar iaitu ‘bihablillah’ yang mengajak kita melakukan pengislahan kembali kepada-Nya dan menjauhkan diri daripada perpecahan. Firman Allah SWT ;
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ الل َّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًاَ
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara." (QS Ali-Imran : 103)
Para ulama’ mufassirin mentasyrihkan maksud بِحَبْلِ iaitu Al-Quran atau Islam itu sendiri. Ini bermakna baginda tidak pernah mengajak umat bersatu atas dasar ‘Kebangsaan’ seperti bil ‘Arabiyyah (dalam konteks negara kita) bil Melayuwiyyah, bil Banjariyyah ataupun bil Jawaiyyah sebaliknya adalah bihablillah iaitu dengan ‘tali Allah’.
Selama mana perpaduan itu diseru atas dasar bangsa semata-mata, selama itulah perpaduan sebenar tidak akan terhasil. Sebab semua bangsa pastinya akan menumpukan untuk menjaga keoentingan bangsa atau kaum mereka sendiri . Tetapi sekiranya ajakan berpadu, bersatu atau berunity (bukan Unity Government ye…) atas paksi Islam, insya Allah Cina, Melayu, India dan Benggali (CIMB) sekalipun akan bersatu atas rahmat Ilahi.
KESIMPULAN :
Yakinlah dengan Allah, sebagaimana yakinnya Rasulullah SAW sehingga dapat menegakkan Negara Islam Pertama Di Dunia di Madinah Al-Munawwarah walhal umat Islam ketika itu hanya 30% sahaja. Tidak timbulpun soal masyarakat majmuk tidak boleh dirikan Negara Islam. Wallahu a’lam - Pernah pergi Wisma Yakin, KL. Ukay’s

Tiada ulasan: