Rabu, 17 September 2014

K-POP

ه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Sabtu (Toyoil), 17 (Sip-Chil) Zulkaedah 1435H. Annyeonghaseyo !
어떻게지냈습니까 ? (Ottokhe Jinesimnika) Apa khabar? 디제이 케이 Ustaz Kay 잘지냅니다 (Cal Cinemnida) Baik - baik sahaja… 오늘 즐 거웠 습니다 (Oneul jeul gowo seumnida) Hari ini sangat mengembirakan !
Pada tahun 1950an, Korea Selatan adalah salah satu negara termiskin di dunia. Setaraf dengan negara-negara termiskin di Afrika dan Asia. Ekonominya hanya bergantung kepada pertanian gara-gara perang dengan Jepun dan Korea Utara. Empat dekad berlalu, Korea Selatan cepat berubah dari negara termiskin, menjadi salah satu negara paling kaya dan tercanggih di dunia dengan nilai ekonomi trillion dollar. 좋아요 (Coahyo) Bagus !
PENCERAHAN
Produk-produk elektronik Korea, Samsung dan LG, telah menguasai pasaran dunia. Dari smartphone canggih, television plasma, LCD dan semikonduktor. Samsung, (Ust. Kay selama ini pun guna HP Samsung Galaxy Mega untuk menulis CCUK setiap hari) adalah konglomerat terbesar di dunia, yang hanya kalah kepada General Electric. Hyundai, juga menjadi perusahaan automotif ke 5 terbesar di dunia. Ust. Kay antara penyumbang kepada angka ini dengan menggunakan Hyundai Starex (bukan sebab minat cerita Korea tetapi kerana anak ramai…)
Bagaimana cara bangsa Korea punya kemampuan yang tinggi untuk menyerap sains dan teknologi dengan begitu cepat dan berjaya? Kuncinya adalah…. Pembangunan Insan Unggul ! Pastinya melalui dari sistem pendidikan yang unggul juga. Pendidikan terbaik dan kelas dunia. Bukan yang bocor di sini-sana. Opps !
Bagaimana dengan orang kita? Jangan malu kerana anak-anak kita pun cepat mengikut rentak orang Korea. Malangnya bukan meniru remaja Korea menyerap teknologi terkini tetapi apa yang kita serapkan ialah muzik K-Pop, Running Man dan pelbagai rancangan hiburan TV mereka. Itupun bukan meniru kesungguhan mereka dalam bidang muzik dan drama filem tetapi meniru pakaian dan fesyen artis-artis mereka yang sangat mencolok mata.
Kita dilarang meniru orang kafir atas beberapa sebab, antaranya ialah :
1) Amalan golongan kafir di bina di atas prinsip yang sesat dan mengandungi kerosakan (fasad) di dalam akidah. Oleh itu, ia tidak menekankan aspek dosa pahala dalam amalan budaya mereka.
2) Sikap seseorang muslim yang suka meniru orang lain biasanya akan menyebabkan mereka berada pada kedudukan yang hina dan lemah serta merasa kecil dan rendah diri.
3) Dikhuatiri akan menimbulkan rasa kagum yang berlebihan terhadap golongan kafir dari sudut agama, adat, tingkahlaku dan amal perbuatan mereka.
4) Rasa cenderung ke arah pihak yang di tirunya. Kecenderungan ini akan menimbulkan rasa cinta, redha dan setia terhadap mereka yang tidak beriman. Contohnya, terlalu hendak meniru filem-filem barat sehingga cenderung pula kezaliman mereka terhadap negara umat Islam. Allah SWT berfirman;
وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka, api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian kamu tidak akan mendapat pertolongan." (QS Hud : 113)
ALHAMDULILLAH… BUKU CCUK TERBITAN KARANGKRAF TELAH MENDAPAT ISBN UNTUK DIPASARKAN…TUNGGU KEMUNCULANNYA !
KESIMPULAN :
Drama sinetron Indonesia plot cerita mesti adik-beradik atau anak-beranak terpisah atau orang kaya menzalimi orang yang miskin. Drama Filipina pula watak antagonis dan protagonis yang berlebih-lebihan. Drama Thailand dengan banyaknya ‘hantu-hantu’ di negara mereka. Drama-drama Korea kebanyakannya menitik beratkan pada aspek hubungan kekeluargaan, yang muda hormati yang tua dan wanita disanjung tinggi. Drama tempatan? Masih mengekalkan ‘ikut-ikutan’, jalan ceritapun seakan akan lebih kurang sama dan yang tak boleh dielakkan adalah pelakon-pelakonnya… yang itu-itu jugalah. Wallahu a’lam - (Sile Hamnida) Minta diri dulu… Ukay’s

Tiada ulasan: