Isnin, 15 Disember 2014

KERANA NAMA…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Rabu, 10 Safar 1436H. KERANA NAMA…
Nama adalah identiti dan pengenalan diri yang utama. Allah SWT pun ada nama, malah ada 99 ‘asmaulhusna’ nama-nama Allah yang baik-baik. Biasanya, pengenalan awal diri seseorang bergantung kepada namanya. Kata orang, harta pertama yang diberikan ayah atau ibu kepada anaknya adalah NAMA.
Sebagai Muslim kita mesti percaya kepada hari kebangkitan atau hari akhirat. Sesungguhnya nama diberikan kepada anak kita di dunia kekal digunakan di akhirat. Setiap anak Adam dibangkitkan dan dipanggil dengan nama seperti nama di dunia. Kalau Samdol namanya di dunia, Samdol lah juga yang akan dipanggil di akhirat.
PENCERAHAN :
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Kamu sekalian pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelokkan nama kamu.” (HR : Abu Daud)
Seboleh-bolehnya hendaklah menjauhi nama-nama yang makruh. Antaranya :
1. Nama yang memberi maksud suatu yang kurang disenangi, seperti: Al-Harb (Peperangan), Fadhih (Yang membuka aib), Suham (sejenis penyakit unta).
2. Nama-nama yang memberi makna yang merangsang nafsu, contohnya: Fatin فاتن (Penggoda).
3. Nama-nama yang membawa maksud dosa dan maksiat, contohnya: Sariq (Pencuri). Zaniah (Penzina)
4. Nama-nama seperti: Firaun, Qarun dan Haman.
5. Nama-nama haiwan yang terkenal dengan sifat dan perumpamaan yang tidak elok, contohnya: Himar (Keldai), dan Al-Kalb (Anjing).
Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Hendaklah kamu memperelokkan namanya, didik dan asuhlah dia serta letakkan dia di tempat sebaik-baiknya. ” (HR : At-Tausi).
Proses memberi nama anak perlu dilakukan sebaik mungkin mengikut garis panduan yang diberikan Islam. Jangan pakai ikut suka hati tiru pengaruh Barat. Makin ramai tertarik dengan nama berbau kebaratan yang didakwa lebih moden dan sedap. Bahkan umpanya nama biasa ditukar ke nama-nama seperti itu. Contoh Salmah jadi Sally, Khairi jadi Herry, Abu Bakar jadi Burn, Katijah jadi Kathy, Rubiah jadi Ruby, Rugayah jadi Rugi…
Pada zaman Rasulullah, ramai sahabat mempunyai nama tidak elok maknanya. Nama buruk itu dipilih ibu bapa ketika zaman jahiliah lagi yang tidak peduli soal pemilihan nama untuk anak. Justeru, Rasulullah mencadangkan nama baru untuk menggantikannya.
Diceritakan oleh Aisyah seperti diriwayatkan Tarmizi, bahawa Rasulullah biasa mengubah nama yang tidak baik kepada nama yang baik. Malah nama baik juga diberikan Rasulullah kepada nama tempat atau bandar. Baginda pernah menukarkan nama anak perempuan Umar al-Khattab daripada Ashiyah yang bermaksud penderhaka kepada Jamilah bererti cantik.
Diriwayatkan juga pernah Rasulullah menukar seorang bernama Hazan (duka cita) kepada nama Sahel yang bermaksud mudah. Namun pemuda itu tidak mahu menukarkan nama diberikan bapanya itu. Akibatnya, dia sendiri mengakui perasaan duka cita tidak pernah lekang daripada dirinya.
Ketika Rasulullah tiba di Madinah, nama tempat itu ialah Yathrib yang bermakna `keburukan’. Lantas, Rasulullah menyatakan kepada penduduknya agar ditukar kepada nama baru iaitu Madinah yang membawa makna `yang indah’.
Nama dalam bahasa Arab hendaklah dieja dan disebut betul-betul. Tambahan atau tertinggal satu huruf membawa makna berbeza. Justeru, elok jika dirujuk dulu kepada pakar bahasa Arab bagi mendapatkan ejaan dan sebutan tepat nama untuk mengelak salah makna. Contoh, Jamaal = Cantik, tapi kalau di panggil Jamal = Unta !
Sekarang ini ramai ibu bapa yang sengaja menambah huruf kepada ejaan nama anak supaya kelihatan agak pelik dan panjang. Penambahan huruf q, e, y, f dan z banyak dilakukan kepada nama kerana dikatakan menarik. Banyak masalah timbul akibatnya. Pemilihan nama anak juga perlu menunjukkan perbezaan jantina. Pemilihan nama anak lelaki dengan nama melambangkan anak perempuan adalah tindakan mengaibkan anak. Anak akan berdepan dengan masalah pengenalan identiti jantina. Contoh, Rohani, Fadhilah
Biarpun, dalam masyarakat Islam di Malaysia penggunaan bin dan binti untuk membezakan lelaki dan perempuan, penggunaannya hanya digunakan dalam urusan rasmi atau ketika nama ditulis. Sedangkan ketika panggilan harian tidak disebut bin atau binti. Contoh, Kamil Bin Sidek, dipanggil Kamil Sidek. Ada anak murid di Sabah dulu namanya Selamat Juga bin Abu. Bila dipanggil Selamat Juga Abu, Bapanya juga yang selamat…pandai-pandai !
Ibu bapa juga dinasihatkan mengelak daripada menggunakan nama panjang yang mengandungi gabungan beberapa nama. Ia biasanya berlaku apabila ibu dan bapa tidak sepakat memilih nama terbaik. Lastly, gabung dua-dua nama Yahya + Mahani = Yamaha, Maznah +Daud = Mazda, Suziana + Marzuki = Suzuki dan Promodoyo +Sa’aton = Proton !
KESIMPULAN :
Masa Ust. Kay nak bagi nama Pondok Pengajian Al-Quran yang Ust. Kay usahakan, pelbagai nama ada dalam fikiran. Antaranya, Pondok Ahli Sunnah (PAS), Balai Ngaji (BN), Pondok Kepimpinan Rohani (PKR) dan Untuk Murid Ngaji Ok (UMNO). Wallahu a’lam - Akhirnya Pondok Balai Ilmu…Ukay’s (UST. HJ. KAMIL SIDEK)

Tiada ulasan: