Isnin, 15 Disember 2014

ALLAH vs MANUSIA

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Ahad, 21 Safar 1436H. ALLAH vs MANUSIA
Redha Allah vs Redha Manusia.
Cinta Allah vs Cinta Manusia.
Kehendak Allah vs Kehendak Manusia.
Pandangan Allah vs Pandangan.
Ciptaan Allah vs Ciptaan Manusia.
Hukum Allah vs Hukum Manusia.
Kuasa Allah vs Kuasa Manusia.
Kekayaan Allah vs Kekayaan Manusia.
Janji Allah vs Janji Manusia.
Hak Allah vs Hak Manusia.
Acuan Allah vs Acuan Manusia.
PENCERAHAN :
Kesemua perkara di atas merupakan tajuk-tajuk pilihan untuk CCUK hari ini. Semuanya sama sebenarnya. Perbandingan di antara kedua tidak boleh disamakan seperti perbezaan antara langit dan bumi, siang dan malam atau antara Thailand vs Malaysia ! Jauuuh…berbeza sama sekali.
Lumrah manusia sentiasa hendak dilihat menarik dan menjaga adab mereka walau di mana mereka berada di hadapan orang sekeliling. Kalau boleh semuanya ingin nampak sempurna dan terbaik di mata manusia. Manusia umumnya akan menjaga tingkah laku demi menjaga nama baik dan maruah seperti di majlis keramaian, di pejabat dan sebagainya. Sepatutnya, kita sentiasa berbuat baik sama ada dilihat manusia atau pun tidak. Mencari redha Allah atau redha manusia?
Baginda SAW yang bermaksud :
“Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah sedangkan manusia murka, maka Allah akan cukupkan baginya akan segalanya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya pada manusia.” (HR : At-Tirmizi)
Manusia mengaplikasikan peraturan dan hukum yang dicipta manusia sendiri, tetapi malangnya manusia lalai dalam mengaplikasikan peraturan yang hakiki yang dicipta oleh Yang Maha Penghukum iaitu Allah SWT. Manusia lupa untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang sebenarnya iaitu Undang-undang dan peraturan Allah SWT. Tetapi manusia lebih takut melanggar Undang-undang Jalanraya daripada undang-undang Allah SWT.
Takut ‘Punch Card’ pejabat merah bila pergi kerja tapi tak takut Punch Card malaikat ‘merah’ bila lambat tunaikan solat. Abdullah bin Mas’ud telah bertanya kepada Rasulullah SAW : “Apakah amalan yg paling disukai Allah SWT?” Sabda Rasulullah SAW : “Solat dengan menjaga waktunya.”. (HR : Bukhari)
(DAPATKAN BUKU CUIT-CUIT USTAZ KAY’S DI KEDAI-KEDAI BUKU SELURUH NEGARA)
صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah) Acuan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik acuannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat.” (QS. Al-Baqarah : 138)
Antara dua pilihan atau lebih, pilihan yang mana lebih menguntungkan untuk membawa kita ke kehidupan yang lebih baik di dunia dan di akhirat. Bagi kita umat Islam tentunya berkaitan dengan hidup di akhirat kelak. Maka jika menyentuh tentang pilihan kehidupan di akhirat tentunya kita mahukan syurga daripada neraka. Jika kita mahukan syurga, pastinya kita hanya mahukan perhatian Allah daripada perhatian manusia.
Jadi dalam pilihan kita, apa jenis pilihan pun, kita perlu utamakan pilihan yang berkaitan Allah. Pilihan yang tidak melanggar apa yang ditegah-Nya. Pilihan yang menjadikan kita lebih dekat dengannya. Selain dari itu adalah pilihan yang kedua ataupun mungkin pilihan yang salah.
KESIMPULAN :
Kita boleh membuat pilihan, tetapi tidak boleh memilih AKIBAT pilihan itu. Kita semua memahami hakikat ini jika kita berpijak di bumi yang nyata dan bukan dikhayalan yang memperdaya. Wallahu a’lam - Pilihlah Allah pada setiap masa maka Allah akan sentiasa pilih kita pada semua masa. Ukay’s (UST. HJ KAMIL BIN SIDEK)

Tiada ulasan: