Isnin, 1 Disember 2014

COBAAN… COBAAN… COBAAN…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Ahad, 7 Safar 1436H. COBAAN… COBAAN… COBAAN…
Para pendakwah akan berhadapan dengan cabaran dan ujian dari dalaman dan luaran persekitaran mereka. Cabaran dalaman, mereka akan bertempur dengan gejolak hawa nafsu, kematangan pemikiran serta gundah gulana jiwa dan perasaan sendiri. Cabaran dari luar pula, para da’i akan menghadapi musuh dan sengketa dari pelbagai pihak, khususnya dari golongan yang tidak mahu melihat Islam bertapak dan berkembang menjadi risalah kehidupan dan mentadbir alam ini.
PENCERAHAN :
Sesungguhnya ujian dan mehnah yang melanda dalam kehidupan para da’i adalah merupakan petanda dan signal kecintaan Allah terhadap mereka. Rasulullah SAW berpesan :
“Sesungguhnya jika Allah mencintai suatu kaum maka ia akan mengujinya.”
Selain itu, Allah swt. tidak akan meninggalkan para duah yang ikhlas keseorangan dalam menghadapi ujian, cubaan dan mehnah. Allah swt. menjadikan al-Quran yang mampu mengubati jiwa-jiwa ini secara halus dan mendalam. Terapi Rabbani ini dahulu telah dipraktikkan oleh generasi yang berpegang teguh pada agama ini sehingga mereka berjaya
Firman Allah SWT :
“Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Dan Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati) Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (QS Al-Anfal : 45-46)
Matlamatnya adalah untuk mewujudkan bi’ah mukminin di sini. Satu matlamat yang amat besar… perlu diteguhkan dengan keyakinan dalam diri bahawasanya Allah swt akan sentiasa bersama-sama dengan hamba-Nya yang ikhlas dalam mewakafkan diri dalam perjuangan Islam.
Rintangan, tentangan , mehnah dan tribulasi sentiasa mendampingi para pejuang yang ingin menegakkan syiar Allah di atas muka bumi ini. Mereka dihamparkan dan disediakan dengan kesakitan, kepenatan, kelelahan, kecewaan dan kesusahan. Mahal harganya, berat tugasnya dan jauh perjalannya untuk bergelar jundullah (tentera Allah) di muka bumi ini. Tapi itu bukanlah alasannya untuk kita berpangku lengan. Beban tugasan dakwah menjadi kewajipan setiap orang. Sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat lagi, berbagai bentuk rintangan dan halangan telah dilalui. Contohnya:
1. Ujian berbentuk cemuhan dan olok-olok dari musuh-musuh Allah yang tidak menginginkan berkembangnya syiar Islam seperti cemuhan kepada pejuang Islam sebenar yang kerap berlaku dalam Perhimpunan Agung Uganda !
"Dan apabila mereka melihatmu (wahai Muhammad), mereka hanyalah menjadikanmu ejek-ejekan (sambil mereka berkata): "Inikah orangnya yang diutus oleh Allah sebagai RasulNya?" (QS Al-Furqan : 41)
2. Ujian dalam bentuk tuduhan yang palsu, bahkan apa yang dikatakan itu boleh merosakkan nama baik Islam dan pejuang Islam itu sendiri. Inilah yang pernah dan sedang dihadapi oleh para pendakwah kita seperti Ustaz Azhar Idrus dan Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.
"Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: "Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta. (QS Saad :4)
3. Ujian dipenjara, penganiayaan dan pembunuhan. Mereka diusir dari kampung halaman, menjadi orang buangan…
Hadis Rasulullah SAW bermaksud:
“Orang mukmin sentiasa diambang lima dugaan yang susah; mukmin yang dengki padanya, munafik yang benci padanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya”
Hikmah Mehnah dan Tribulasi :
1. Menunjukkan sifat kehambaan dan pergantungan kepada Allah SWT.
2. Menampakkan yang hak dan yang batil
3. Sebagai satu bentuk pentarbiyahan diri dan menghapuskan dosa.
4. Meningkatkan darjat taqwa untuk membantu kemenangan Islam
5. Membersihkan diri orang yang beriman supaya keimanan mereka semakin mantap.
6. Mendidik generasi menjadi sabar, tangkas dan mempunyai azam yang kuat.
KESIMPULAN :
Ikhlas dalam perjuangan, mendidik jiwa dan ketahanan menerusi latihan kerohanian serta istiqamah berada dalam Jemaah adalah merupakan resepi untuk menghadapi ujian-ujian dalam perjuangan ini. Wallahu a’lam - Berjuang istiqamah dalam CCUK walau sesibuk manapun…insya Allah ! Ukay’s ( UST. HJ. KAMIL BIN SIDEK)

Tiada ulasan: