Khamis, 21 Ogos 2014

TEKANAN YANG MENEKAN…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Rabu, 24 Syawal 1435H. TEKANAN YANG MENEKAN…
Kematian aktor Hollywood Robin Williams, adalah bukti bahawa ; “Kebahagian, ketenangan dan kesenangan bukan milik bapak tetapi milik Allah Yang Maha Kuasa” (pinjam dialog Allahyarham A.R. Tompel dalam ‘Filem Ahmad Albab’) Maksudnya, manusia tidak mampu memilikinya walaupun dia seorang penghibur antarabangsa tanpa izin dari Allah.
PENCERAHAN :
Stress atau rasa tertekan kadangkala berpunca dari faktor dalaman individu tersebut seperti keinginan melampau untuk melakukan yang terbaik, terlalu ideal dan tiada keyakinan diri atau cepat putus asa. Selain kerana kurang pengetahuan agama, terlalu hendak menjaga kepentingan orang lain dan terlalu terdesak untuk mendapat perhatian dari seseorang.
Faktor luaran yang turut menyumbang gejala stress atau tekanan ini ialah Ketua / majikan (arahan tidak jelas & tidak sekata), konflik rumahtangga atau konflik keluarga (anak bermasalah, penceraian ibubapa), perubahan kerja yang terlalu kerap ataupun penempatan yang terlalu lama di suatu tempat kerja.
Begitu juga faktor semasa seperti kegawatan ekonomi, malapetaka, kesihatan dan juga perubahan politik yang terlalu drastik, plastik dan bombastik ! Akibatnya berlaku perubahan kedudukan, kehilangan jawatan dan punca kewangan yang mendadak dan sebagainya.
Tekanan atau stress menurut pandangan Islam, bukan berpunca dari tekanan mental semata-mata, tetapi juga berpunca dari kecelaruan dan kelemahan mengurus hati, roh, nafsu dan akal. Menyebabkan rapuhnya hubungan individu itu dengan Allah SWT dan kehidupannya menjadi sempit, seolah-olah tiada jalan keluar dari setiap inci masalah yang dihadapinya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Allah menguji seseorang itu dengan perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, nyawa dan hasil-mahsul yang tidak menjadi dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar”. (QS Al-Baqarah : 155)
Kata-kata hikmah Syeikh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah berkaitan menghadapi tekanan ini ;
1) Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah SWT.
2) Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan dengan Allah SWT.
3) Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah SWT.
4) Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa dengan-Nya
5) Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan larangan-Nya serta qadha dan qadar-Nya serta sentiasa sabar sehingga menemui-Nya
6) Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepada-Nya dan bermohon hanya kepada-Nya.
Untuk yang selalu tertekan. Kisah ini tidak ada kaitan dengan yang hidup atau pun yang sudah tidak hidup. Kisah yang cukup menyedihkan… Kisah seorang suami yang tertekan.
ISTERI: Kenapa abang call?
SUAMI: Abang tertekan…
ISTERI: Abang ok?? Abang ada masalah apa? Cerita lah dengan saya…
SUAMI: ??? Saya tertekan jer… Mana ada masalah apa-apa…
ISTERI: Tak apa Bang, kalau abang ada masalah cerita laa….
SUAMI: Masalah apa nye…?? Abang ok jer… Abang cuma tertekan jer…
ISTERI: Ye lah… Kalau abang tertekan… abang kena cerita kat saya…saya kan isteri Abang !
SUAMI: Adoyai… Tertekan pun kena cerita ke? Masa keluarkan telefon dari poket tadi, abang tertekan nombor telefon sayang, abang dah cakap ‘tertekan’ tapi awak tak faham-faham…
ISTERI: ……..
Release tension sikit !…. Esok kita akan bincang cara mengatasinya menurut Islam, insya Allah !
DAPATKAN ‘CCUK EDISI BUKU’ TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA TIDAK LAMA LAGI…
KESIMPULAN :
Setiap manusia tidak terlepas dari ujian hidup. Yakinlah setiap masalah ada jalan penyelesaian Tabah dan redha menghadapi segala ujian-Nya. Wallahu a’lam - Jangan hidup tertekan atau menekan orang yang hidup. Ukay’s

Tiada ulasan: