Khamis, 21 Ogos 2014

CARA MENGHINDARI TEKANAN MENURUT ISLAM

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Khamis, 25 Syawal 1435H. CARA MENGHINDARI TEKANAN MENURUT ISLAM
Sekarang ini ramai orang hidup dalam tekanan. Sama ada kita sedari atau tanpa kita sedari, besar atau kecil tekanan tersebut. Contoh, asyik menunggu tarikh-tarikh yang tertentu oleh orang yang tertentu kerana sebab-sebab yang tertentu juga. Mula-mula 10hb. kemudian pinda ke 17hb. Selesai 17hb. tunggu pula 27hb. Wallahu a’lam…
PENCERAHAN :
Sebagai individu Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan seperti ini adalah dengan kembali kepada ajaran dan syariat Islam. Ini selaras dengan firman Allah SWT ;
هُوَ الَّذِي أَنزَلَ السَّكِينَةَ فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَّعَ إِيمَانِهِمْ وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
"(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (QS Al-Fath : 4)
Antara kaedah untuk menangani tekanan menurut Islam ialah ;
1) Menjaga solat fardhu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”
2) Bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir. Sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 28 maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.’
3) Mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa; “Al-Quran adalah syifa’ (penawar) kepada kesakitan minda.” (HR: Bukhari).
4) Keyakinan tentang kehidupan. Meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya.
5) Amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu…”

6) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk. Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.
7) Bersangka baik dengan Allah. Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
DAPATKAN ‘CCUK EDISI BUKU’ TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA TIDAK LAMA LAGI…INSYA ALLAH !
KESIMPULAN :
Antara usaha untuk menangani tekanan ini ialah berjumpa atau serahkan sahaja kepada ‘ahlinya’. Contoh, kita ada Majlis Syura Ulama’ dan ada saff kepimpinan umara’ yang bertaraf Tok Guru, bukan seorang ramai pula tetapi kita masih tidak puas hati dengan keputusan yang telah mereka buat, itu yang stress tu…Siapalah kita jika dibandingkan dengan mereka. Wallahu a’lam - Ust Kay stress dengan orang yang stress dengan ulama’. Ukay’s.

Tiada ulasan: