Isnin, 18 Ogos 2014

KAWAN vs LAWAN

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Khamis,18 Syawal 1435H) KAWAN vs LAWAN
Melihat situasi yang berlaku sekarang ini, Ust Kay teringat akan firman Allah SWT ;
ْ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (QS. Al-Baqarah : 216)
PENCERAHAN :
Memang kata Kawan dan Lawan cuma dibezakan dengan satu (1) huruf di depan saja. Iaitu antara huruf ‘K’ dan ‘L’. Tetapi jangan pula disamakan berlaku dikehidupan nyata kita. Kawan dan Lawan sangat berbeza jauh sebenarnya seperti hitam dan putih, siang dan malam, pasang dan surut, baik dan buruk dan seumpamanya.
Sebagai makhluk sosial memang manusia tidak boleh terlepas dari hidup bersama manusia yang lain. Satu dengan yang lain terintegrasi bersama, mulai dari saat kelahiran sampailah dipisahkan dengan kematian.
Ironinya dalam kawan ada lawan dan dalam lawan tiada kawan ! Kita sering dengar istilah ‘tikam dari belakang’. Ini biasanya ditujukan kepada kawan kita, atau orang yang kita kenal. Ini boleh terjadi dalam semua hal atau bidang kehidupan. Perbuatan ini merupakan tindakan yang sangat tidak terpuji. Kita sangat berharap tidak akan tertikam dari belakang. Dimana rasanya tak terbayang sakitnya kerana tidak bersedia berbanding cubaan ditikam dari hadapan.
Oleh itu, Baginda Rasulullah SAW pernah berpesan; “Cintailah orang yang kamu cintai sewajarnya kerana boleh jadi suatu hari kelak dia menjadi musuhmu. Dan bencilah musuhmu dengan sewajarnya, kerana boleh jadi suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang kamu cintai” (HR : Abu Daud, Al-tirmizi dan Ibnu Majah)
Kawan, jika masih dalam batasan kepentingan yang sama pasti akan menjadi kawan. Tetapi jika kawan kita sudah punya kepentingan lain, boleh menjadi lawan kita. Baik lawan yang nyata mahupun yang sembunyi-sembunyi. Lagi bahaya…
Antara kawan yang patut kita jauhi secara berhemah ialah ;
1) Kawan yang hanya pentingkan diri sendiri
2) Kawan yang suka mengambil kesempatan
3) Kawan yang suka memberi helah dan menikam kita dalam diam.
4) Kawan yang hilang saat dia senang, tapi muncul saat dia susah sahaja.
5) Kawan yang lupakan kawan kerana telah jumpa kawan lain.
Kawan sejati bagai air lalu walau dicincang ia tak mungkin akan putus. Berkawanlah dengan hatimu terlebih dahulu sebelum berkawan dengan orang lain. Maksudnya, jadilah kawan yang baik jika ingin mendapat kawan yang baik. Kerana boleh jadi, musuhmu adalah kawanmu yang paling akrab, yang telah mengenali kekuatan dan kelemahanmu…
Tidaklah kita dapat mengenal orang lain melainkan dengan tiga waktu, iaitu ;
1. Tidak dapat diketahui adakan seorang itu pemaaf melainkan ketika dia marah.
2. Tidak dapat dikenal seorang itu berani melainkan pada waktu berjuang.
3. Tidak dapat dikenal seorang kawan melainkan waktu kita kesusahan.
Terlalu sukar menjalin persahabatan kerana ia adalah pertautan hati bukan pertautan fikiran, lebih-lebih lagi bukan hubungan kebendaan semata. Persahabatan yang akrab tidak akan dapat dipisahkan melainkan dengan kematian.
Bertemanlah dengan orang yang suka membela kebenaran. Seorang sahabat adalah yang dapat mendengarkan lagu didalam hatimu dan akan menyanyikan kembali tatkala kau lupa akan bait-baitnya. Sahabat adalah anugerah Tuhan untuk menjaga kita.
KESIMPULAN :
Jangan menyesal bila telah bertemu dengan orang lain tetapi menyesallah jika orang itu menyesal bertemu dengan kamu. Kamu tidak akan memiliki seorang teman pun, jika kamu mengharapkan seseorang tanpa kekurangan. Kerana semua manusia itu, baik kalau kamu dapat melihat kebaikannya dan menyenangkan kalau kamu dapat melihat keunikannya. Tetapi semua manusia itu akan buruk dan membosankan kalau kamu tidak dapat melihat keduanya. Wallahu a’lam - Teman tapi mesra. Ukay’s

Tiada ulasan: