Khamis, 28 Ogos 2014

SEDIHNYA…!

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Sabtu, 27 Syawal 1435H. SEDIHNYA…!
Sedih merupakan salah satu emosi akibat berhadapan dengan situasi yang mengecewakan, dan muncul akibat penderitaan kerana luka, derita, kehilangan orang yang disayang atau sakit.
PENCERAHAN :
Oleh itu, kita akan menangis ! Namun demikian, menangis bukanlah emosi tetapi menangis adalah ekspresi dari sebuah emosi. Emosi yang paling sering menjadikan kita menangis sebagai ekspresinya adalah kesedihan (sadness) tapi bukanlah bererti kita hanya boleh menangis jika sedih sahaja.
1. Jangan sedih bila orang lain tidak memahami anda.. Tapi sedihlah kerana anda tidak mahu memahami orang lain.
2. Jangan sedih bila orang lain tidak mempercayai anda….Tapi sedihlah kerana anda tidak percaya diri sendiri.
3. Jangan sedih bila orang lain tidak memberi kesempatan kepada anda… Tapi sedihlah kerana anda belum buat persiapan.
4. Jangan sedih bila orang lain tidak menghargai anda… Tapi sedihlah kerana anda tidak pernah menghargai orang lain.
5. Jangan sedih bila orang lain menghina anda… Tapi sedihlah kerana anda membuat hina diri sendiri.
6. Jangan sedih bila orang lain memaki anda..
Tapi sedihlah kerana anda bermulut jahat pada orang lain.
7. Jangan sedih orang selalu mengritik kita… Tapi sedihlah kerana anda tidak pernah mahu perbaiki diri.
8. Jangan sedih kerana anda selalu jatuh… Tapi sedihlah kerana anda tak mahu bangkit kembali.
9. Jangan sedih kerana perjalanan hidup anda pahit getir… Tapi sedihlah kerana anda tak pernah belajar dari pengalaman.
Hidup ini satu pilihan, apapun yang membuatkan kita sedih, tinggalkan. Apapun yang membuatkan kita tersenyum jangan lepaskan. Kesedihan bukan untuk diratapi, tetapi merupakan panggilan jiwa untuk muhasabah diri dan berbuat yang lebih baik untuk diri. Tidak ada seorang pun dalam hidup ini sangat kuat.
Semua orang merasai kesedihan, tetapi kadang-kadang seseorang mampu pura-pura senyum. Kadang-kadang, seseorang itu lebih memilih untuk tersenyum kerana tidak ingin menunjukkan mengapa dirinya bersedih.
Tuhan Maha Penyayang, Maha Pengasih. Hanya Tuhan tempat kembali, hanya Tuhan yang mampu mengubah kesedihan kepada kegembiraan.
Seseorang yang kita nampak kuat, tidak bererti dia tidak pernah bersedih. Dia bersikap seperti tidak ada yang salah, tetapi mungkin hatinya terluka. Ambil pengajaran dari masa yang lalu dan tinggalkan kesedihan. Jangan biarkan kesedihanmu menutup jalan masa hadapanmu.
Senyumlah, tinggalkan kesedihan. Lupakan ketakutanmu. Sakit yang kamu rasa tidak setara dengan kebahagiaan yang bakal kamu kecapi.
Jangan pernah menyalahkan orang lain di atas kesedihanmu kerana kebahagiaanmu adalah urusanmu. Kebahagiaan kita harus datang dari dalam diri kita. Percaya pada diri sendiri walaupun sedang bersedih kerana pembakar semangat terbesar dalam hidup kita adalah diri kita sendiri.
Tuhan tidak pernah membiarkan hamba-Nya berpanjangan dalam kesedihan, pasti ada rancangan indah untuk membayar semua air mata kita. Tidak perlu bersedih kerana kekurangan diri kita. Ketahuilah, Tuhan pasti memberi kelebihan kepada setiap orang yang memiliki kekurangan.
DAPATKAN ‘CCUK EDISI BUKU’ TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA TIDAK LAMA LAGI…INSYA ALLAH !
KESIMPULAN :
Ketika seseorang melukaimu, jangan bersedih kerana Allah sentisa mendatangkan penyembuh buatmu. Ketika seseorang yang cukup bermakna buatmu pergi, jangan terus bersedih kerana kamu akan kehilangan dirimu sendiri yang juga cukup bermakna pada orang lain. Wallahu a’lam - Jangan ‘sedey-sedey’ ! Ukay’s

Tiada ulasan: