Isnin, 4 Ogos 2014

RAYA-RAYA JUGA…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Istimewa ‘Idul Fitri) Isnin, 1 Syawal 1435H : RAYA-RAYA JUGA…
Alhamdulillah… setinggi-tinggi kita rafa’kan kesyukuran kerana layak untuk meraikan hari kemenangan setelah Allah uji kita dengan puasa sebulan. Namun ujian Allah SWT terus berjalan, dalam keadaan kita bergembira berhari raya jangan lupa jaga perlakuan dan ucapan kerana syaitan telah dilepaskan. Kini nafsu sudah berteman, tanpa disedari takut kita melakukan kesilapan pada hari lebaran.
PENCERAHAN :
Di antara beberapa kesilapan yang boleh berlaku pada hari raya ialah seperti berikut;
1. Sebahagian orang ada yang beranggapan sunat menghidupkan malam hari raya dengan melakukan ibadat-ibadat sunat khusus seperti qiamullail dan seumpamanya. Adapun hadis yang menyebut tentang kelebihan menghidupkan malam hari raya secara khusus ini adalah dhaif ataupun lemah untuk dinisbahkan kepada perkataan Nabi saw. Hadis tersebut ialah;
من أحيا ليلة العيد لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
“Siapa yang menghidupkan malam hari raya, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati (manusia lainnya).”
Hadis ini TIDAK SAHIH. (HR :Ibnu Majah (1782) Kata Al-Busiri dalam al-Misbah (644): “Isnadnya Dhaif”)
Maka tidak disyariatkan untuk menghidupkan malam hari raya dengan qiamullail, melainkan bagi mereka yang sememangnya telah menjadi kebiasaannya menghidupkan malam-malam yang lain juga. Hanya disunatkan untuk memperbanyakkan bertakbir dan berdoa memohon segala amalan sepanjang Ramadhan yang lalu diterima Allah dan ditemukan Ramadhan yang akan datang.
2. Perbuatan sebahagian muslim yang menjadikan awal pagi pertama atau kedua hari raya untuk menziarahi kubur adalah perbuatan yang tidak tepat dengan maksud dan syiar hari raya, yang mana sepatutnya dizahirkan kegembiraan dan keseronokan. Sedangkan perbuatan menziarahi kubur sebagaimana yang diajar oleh Nabi SAW adalah untuk mengingati mati dan memberi keinsafan. Menjadikan ziarah tanah perkuburan sebagai agenda khas pada setiap hari raya, adalah salah dari segi konsepnya. Seperti hanya mengingati ibu bapa atau keluarga yang telah mati pada waktu-waktu tertentu dan ada pada musim-musim yang tertentu sahaja, sedangkan sepanjang tahun itu sebelumnya, doa pun lupa untuk dihadiahkan kepada mereka!
3. Pergaulan atau ihtilat yang bebas pada Hari Raya.
Ramai dikalangan kita telah mengambil mudah dengan hari raya. Bila hari raya datang, mereka menganggap hari raya adalah ‘Free Day’ iaitu hari yang terlepas dari ikatan agama (agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari raya ini merupakan lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi @ yang halal dinikahi), berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan.
4. Bermegah megah dengan persiapan hari raya yang melampau dari segi pakaian, dekorasi rumah, menu dan sebagainya… semua mendorong kepada pembaziran. Niat untuk menzahirkan kegembiraan itu bagus tetapi janganlah berlebih-lebihan sehingga berhutang keliling pinggang pula.
5. Tabarruj (melampau dalam berhias) bagi wanita seperti bermekap dan memakai perhiasan emas melampau… ‘Busana Muslimah’ telah menjadi ‘Busana Fitnah’ kerana tidak menetapi cara menutup aurat yang sebenar. Contoh, baju jubah muslimah tetapi jarang atau terlalu mengikut bentuk badan. Ini semua boleh mendorong kepada kerosakan mata dan hati yang memandang atau boleh mengundang dianiaya oleh orang yang berniat tidak baik.
6. Tidak mengutamakan menziarahi jiran, saudara mara, rakan taulan, tetapi sibuk menonton TV dirumah atau menonton filem di panggung-panggung wayang. Terutamanya bagi orang muda… sesungguhnya berziarah itu adalah lebih dituntut untuk mengeratkan silaturrahim dan bermaafan antara satu sama lain. Ingat ! Kita tidak ada kesalahan dengan peti televisyen tapi pastinya kita ada salah dengan orang lain.
7. Beria-ia solat sunat Hari Raya tetapi tidak solat subuh apatahlah lagi untuk berjemaah di masjid atau surau. Bagi orang seperti ini solat berjemaah di masjid atau di surau hanya untuk Solat Sunat Terawih sahaja.
8. Makan berlebihan, mendorong kepada penyakit dan malas. Sehingga hati menjadi mati dan tidak sensatif. Syeikh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah menyatakan dalam kitabnya ‘Mufsidatul Qalbi Al-Khamsah’ (Lima Perkara Yang Merosakkan Hati) antara perkara tersebut ialah kerana terlalu berlebih-lebihan dalam makanan. Sehinggakan kita lupa bagaimana nasib saudara-saudara kita di Gaza Palestin, Syria, Myanmar dan waris keluarga MH370 dan MHI17 yang sedang bersedih.
9. Seronok beraya sehingga sebulan sampai terlupa untuk berpuasa enam dalam bulan syawal, besar ganjaran bagi yang berpuasa pada hari tersebut seolah-olah berpuasa penuh sepanjang tahun setelah digandingkan dengan puasa penuh di Bulan Ramadhan.
10. Beronok-ronok berhari raya dari pagi hingga malam sehingga meninggalkan atau melambat-lambatkan solat fardhu. Seolah-olah meraikan hari kemenangan dengan ‘kekalahan’.
KESIMPULANNYA :
Ust. Kay teringat pesan orang tua dulu-dulu, kalau tak puasa tak boleh raya ! Maksudnya, yang sepatutnya berhari raya ialah kita bukan syaitan dan hawa nafsu. Berhari rayalah dengan iman dan teman mu bukan ditemani syaitan dan nafsu mu… Wallahu a’lam - Ngapurone seng akeh-akeh yo ! Ukay’s.
تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ, وكل عام و أنتم بخير.

Tiada ulasan: