Isnin, 4 Ogos 2014

RAMADHAN PENGHUJUNGNYA PERPISAHAN

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Sabtu, 28 Ramadhan 1435H : RAMADHAN PENGHUJUNGNYA PERPISAHAN - Pentazkirah pun dah balik kampung !
Tinggal lagi dua hari Ramadhan akan meninggalkan kita pergi. Begitulah lumrah alam, yang datang pasti akan pergi. Tanpa disedari Ramadhan yang diberkahi dengan seribu macam keistimewaan akan meninggalkan kita. Mungkinkah kita diberi peluang lagi untuk bertemu dengan Ramadhan akan datang suatu yang belum pasti. Puasa Sunat Enam Syawal depan ini pun belum tentu lagi.
PENCERAHAN :
Suatu ketika Nabi sedang menaiki anak-anak tangga mimbar masjid, maka Baginda telah mengaminkan doa-doa yang dibacakan oleh malaikat Jibril. Salah satu antara doa-doa Jibril a.s. itu ialah “Barangsiapa yang memasuki bulan Ramadhan, namun setelah keluar daripadanya dengan tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT, kemudian mati, maka ia dijauhkan daripada rahmat-Nya dan dimasukkan ke dalam neraka” Jibril berkata lagi, “Ucapkan “Amin”. Maka ku ucapkan “Amin”
Jika direnung, perkara ini sebenarnya menjadi amaran yang cukup menggerunkan kita semua. Ianya menimbulkan persoalan sejauh manakah kita telah mengisi Ramadhan ini dengan ibadah yang cukup untuk menagih keampunan Allah? Juga adakah kita berhasil untuk mendapat nilai taqwa sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah dalam al Quran al-Karim;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam."
(QS Ali -Imran : 102)
Beruntunglah mereka yang telah bersusah payah beramal untuk meraih keampunan dan keredhaan Allah, serta rugilah mereka yang lalai dan leka sepanjang Ramadhan. Jika Ramadhan yang akan berlalu pergi itu tidak mampu memperbaiki dan meningkatkan kebaikan diri kita, maka pada bulan dan ketika manakah lagi yang boleh menjadi pendorong yang dapat mengubah diri kita ini?
Pun begitu, perlu diingat bahawa jika ibadah itu hanya di bulan Ramadhan, dengan anggapan ibadah itu seperti bermusim, sama seperti musim cuti sekolah, atau musim buah-buahan, atau musim pilihanraya maka rugilah juga kesudahannya. Sebenarnya tidak sukar untuk melihat tanda-tanda amal kebajikan kita sepanjang Ramadhan diterima atau ditolak. Antaranya ulama’ menggariskan ‘Sijil’ lulus cemerlang Ramadhan antaranya ialah;
1. Selepas Ramadhan, akidah semakin mantap.
2. Selepas Ramadhan, ibadat semakin semangat.
3. Selepas Ramadhan, akhlak semakin hebat.
4. Selepas Ramadhan, hidup bertambah berkat.
5. Selepas Ramadhan, redha Allah bertambah dekat.
Bila berlalunya Ramadhan nanti, kita akan meraikan Aidil Fitri pula. Aidil Fitri atau lebih tepat disebut sebagai ‘Idul Fitri adalah hari meraikan kemenangan. Kita raikan Aidil Fitri dengan takbir, tasbih dan tahmid. Tetapi pernahkah kita bertanya, apakah sebenarnya yang kita raikan? Layakkah kita meraikan kemenangan tersebut?
Sangat penting untuk kita mengambil iktibar daripada peristiwa kejatuhan Baghdad di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Bagaimana pada tahun berkenaan, umat Islam telah berada di kemuncak kelalaian dan kecuaian terhadap perintah Allah SWT. Pada tahun berkenaan umat Islam di Baghdad terlalu lalai sehingga terlupa untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri lantas mengqadha’nya selepas Maghrib. Maka wajar di saat itu Allah timpakan kebinasaan kepada mereka walaupun pada masa itu Baghdad adalah qiblat tamadun dan ilmu pengetahuan. Masyaallah Tabarakallah !
KESIMPULANNYA :
Sesungguhnya Ramadhan itu umpama satu madrasah pendidikan yang memupuk dan menghasilkan benih taqwa. Dari benih ini akan tumbuh pula pohon taqwa yang sangat diperlukan dalam mengharungi kehidupan ini. Dan dari pohon taqwa inilah lahirnya ibadah dan akhlak mulia yang menjadi penghias diri seorang Muslim. Wallahu a’lam - Bertemu dan berpisah kerana Allah. Ukay’s.

Tiada ulasan: