Isnin, 11 Ogos 2014

DIAM ITU IBADAH

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Isnin,15 Syawal 1435H)
DIAM ITU IBADAH
Diam bukan bermakna tidak berbuat apa-apa, kerana dia itu juga satu usaha iaitu mendiamkan diri dengan tidak berkata apa-apa. Bukan mudah untuk mendiamkan diri ini setelah sekian lama berkata-kata dan setelah sejak lahir mulut ini ada bersama kita.
PENCERAHAN :
Nabi SAW bersabda : “Mahukah kamu aku khabarkan kepadamu, dengan semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuh,ialah diam dan baik perangai.”
(HR: Ibnu Abiddunya dari Shafwan bin Salim)
Jika tidak dapat berkata-kata yang baik lebih baik mendiamkan diri. Berkata baik itu hendaklah kepada semua orang .Ketika Nabi SAW disarankan agar mengutuk orang-orang musyrik, baginda menjawab : “Aku tidak diutuskan untuk (melemparkan) kutukan, tetapi sesungguhnya aku diutuskan sebagai (pembawa) rahmat.” (HR: Bukhari dan Muslim)
Ingatlah pesanan Nabi SAW : “Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yg banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya”. (HR: Abu Naim)
Jelaslah bahawa, ada hikmah yang besar di sebalik diam, usah bimbang di label sebagai ‘Budak yang pendiam’. Diam orang mukmin itu ibadah, ibadah tanpa perbuatan, ibadah rasa, ibadah ini tidak meletihkan. Kadang kala ibadah ini lebih baik daripada ibadah sunat, yang hatinya di dalam kelalaian.
Diamnya itu lebih menyelamatkan. Dapat memikirkan dosanya, dapat memikirkan apa kebaikan yang nak dibuat, dapat memikirkan hendak menolong orang lain. Dia meniatkan dia diam itu, kerana tidak mahu bercakap yang bukan-bukan, cakap yang tanpa ilmu pengetahuan, cakap tanpa iman dan takut dia melakukan kesalahan.
Atau dia diam itu, menghormati percakapan orang, mungkin orang itu bercakap baik dapat pengajaran. Atau dia hendak mengenal orang yang bercakap itu, baik atau jahat. Dia biarkan saja orang itu bercakap, dia mendengar sahaja.
Kerana kalau dua-dua bercakap, siapa yang hendak mendengarnya. Atau dia hendak mengenal orang itu. Itulah yang dikatakan oleh pepatah Melayu; “Diam-diam ubi berisi”
Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita terseksa di dalam neraka Allah SWT. Sabda SAW; “Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya”. (HR: At-Tarmizi)
Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah. Oleh itu, Diam adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.
Antara hikmah berdiam diri ini ialah;
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf.
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.
Rasullulah SAW bersabda mengenai kelebihan diam yang bermaksud; “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam”. (HR: Bukhari & Muslim)
Menasihati orang yang bersalah, tidak salah.
Yang salah ialah asyik memikirkan kesalahan orang. Melakukan perbuatan yang betul itu betul. Yang tidak betul merasakan diri sentiasa betul !
KESIMPULAN :
Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak bicara tidak semestinya cerdik, kerana kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik dari orang bodoh yang banyak bicara. Wallahu a’lam - Emmm..! Ukay’s

Tiada ulasan: