Jumaat, 29 Ogos 2014

SALAHKAH AKU MENCINTAIMU…???

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Jumaat, 3 Zulkaedah 1435H. SALAHKAH AKU MENCINTAIMU…
Terdapat banyak ayat-ayat suci Al Quran Al-Karim yang menganjurkan kita untuk mencintai tanah air atau Negara kita. Bahkan Nabi Ibrahim a.s pernah berdoa kepada Allah untuk memberkati negeri yang didiaminya. Kerana pastinya tiada kenikmatan jika tanah air yang didiami rosak dan penuh kacau-bilau. Firman Allah : “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman sentosa..” (QS Al-Baqarah : 126)
PENCERAHAN :
Nabi sentiasa mencintai negeri atau negara yang didiami Baginda. Sebab jika Negara kita rosak, kita juga yang akan menderita. Apa hebatnya jika negara kita sungainya tercemar hingga airnya tak dapat diminum dan udaranya kotor sehingga menyesakkan…
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا أُخْرِجَ مِنْ مَكَّةَ : اِنِّي لَأُخْرَجُ مِنْكِ وَاِنِّي لَأَعْلَمُ أَنَّكِ أَحَبُّ بِلَادِ اللهِ اِلَيْهِ وَأَكْرَمُهُ عَلَى اللهِ وَلَوْلَا أَنَّ أَهْلَكَ أَخْرَجُوْنِي مِنْكِ مَا خَرَجْتُ مِنْكِ
Dari Ibnu Abbas bahawa saat Nabi diusir dari Mekah baginda SAW bersabda: “Sungguh aku diusir darimu (Mekah). Sungguh aku tahu bahawa engkau adalah Negara yang paling dicintai dan dimuliakan oleh Allah. Andai pendudukmu (Kafir Quraisy) tidak mengusirku dari mu, maka aku takkan meninggalkanmu” (Musnad al-Haris, oleh al-Hafidz al-Haitsami)
Dan ketika Nabi pertama sampai di Madinah baginda SAW terus berdoa:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الْمَدِينَةَ كَحُبِّنَا مَكَّةَ أَوْ أَشَدَّ
“Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah seperti cinta kami kepada Mekah, atau melebihi cinta kami pada Mekah” (HR: al-Bukhari)
Ka’ab bin ‘Iyadh r.a bertanya, “Ya Rasulullah, apabila seorang mencintai kaumnya, apakah itu tergolong fanatisme?” Nabi SAW menjawab, “Tidak, fanatisme (Asabiyah) ialah bila seorang tetap mendukung (membantu) kaumnya atas suatu kezaliman.” (HR : Ahmad)
Apa yang penting kecintaannya pada harta atau tanah air itu adalah kerana Allah. Itulah sebabnya para ulama dan para pejuang zaman dahulu akan sentiasa meneriakkan laungan takbir, Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar sebagai pembakar semangat dan peneguhan niat kerana Allah bukannya sekadar sorakan, Hidup Melayu ! Hidup Melayu atau Merdeka ! Merdeka ! Mauduitkah ! Mauduitkah !
Nabi SAW bersabda; “Orang yang gugur melindungi keselamatan hartanya (termasuk tanah air), mati syahid dan yang membela (kehormatan) keluarganya, mati syahid dan membela dirinya (kehormatan dan jiwanya) juga mati syahid. (HR: Ahmad)
TAK SABAR MENUNGGU BUKU ‘CUIT-CUIT UST KAY’ (CCUK) EDISI PERTAMA TERBITAN KARANGKRAF… PASTIKAN ANDA TIDAK TERLEPAS UNTUK MEMILIKINYA !
Jangan sampai kerana menganggap cinta tanah air / nasionalis itu adalah dusta semuanya, kita akhirnya benci dengan tanah air kita dan merosaknya. Tanahnya dirosak, sungainya dicemari, dibuat peperangan dan sebagainya. Ini tidak benar. Firman Allah SWT ;
“lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu” (QS Al-Fajr : 12)
Allah membinasakan satu negeri, jika memang penduduk negeri tersebut derhaka kepada Allah: “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan penderhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. ” (QS Al Israa’ : 16)
Sebaliknya Allah tidak akan membinasakan negeri yang penduduknya berbuat kebaikan:
“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS Hud : 117)
KESIMPULAN :
Nasionalisme tidak ada dalilnya, ataukah kita tidak tahu dalilnya? Jadi cinta tanah air ada dalilnya atau kita tidak tahu dalilnya? Wallahu a’lam - “Aku Cinta Pada Mu Malaysia Kerana Allah”. Ukay’s

Khamis, 28 Ogos 2014

AKU CINTA PADAMU…

ه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Khamis, 2 Zulkaedah 1435H. AKU CINTA PADAMU…
حُبُّ اْلوَطَنِ مِنَ اْلإِيْمَانِ
“Cinta tanah air adalah sebahagian daripada iman” Hadis ini adalah hadis maudhu’ atau hadis palsu sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Al-Bani dalam kitabnya, Salsilah Hadis Dhaif dan Maudhu jilid-1, cetakan Gema Insani Press. Imam Jalaluddin As-Suyuti juga menjelaskan bahawa hadis ini tidak diketahui asalnya (Ad-Durar al-Muntasirah Fi al-Ahaadis al-Musytahirah).
PENCERAHAN :
Syaikh al-Albani berkata: “Maknanya tidak benar. Sebab cinta negera sama halnya dengan cinta jiwa dan harta. Seseorang tidak terpuji dengan sebab mencintainya lantaran itu sudah tabiat manusia. Bukankah anda melihat bahawa seluruh manusia juga ada kecintaan seperti ini, baik dia kafir mahupun mukmin!”
Sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّا كَتَبْنَا عَلَيْهِمْ أَنِ اقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ أَوِاخْرُجُوا مِن دِيَارِكُم مَّافَعَلُوهُ إِلاَّ قَلِيلُُ مِّنْهُمْ
"Dan sesungguhnya kalau Kami perintahkan kepada mereka, bunuhlah dirimu atau keluarlah kamu dari kampungmu, nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sebahagian kecil dari mereka." (QS. An-Nisa’: 66)
Ayat ini menunjukkan bahawa orang kafir juga mencintai tanah air mereka. Musuh-musuh Islam telah menjadikan hadis palsu ini untuk menghilangkan syi’ar agama dalam masyarakat dan menggantinya dengan syi’ar kebangsaan. Padahal akidah seorang mukmin lebih berharga baginya dari segala apapun.
Berlebih-lebihan terhadap tanah air sehingga sampai kepada tahap ‘memberhalakannya’ adalah dilarang.
Namun, sekiranya ada yang bertanya kepada Ust. Kay adakah mencintai negara dilarang dalam Islam? Jawapannya adalah tidak. Kerana tidak ada larangan atas seorang untuk mencintai bangsanya dan tanah airnya malah tidak terlarang, dia cinta kepada kucing, arnab, sugar glider, ikan Flower Horn, kerbau dan tenuk sekalipun.
Cuma, janganlah berlebih-lebihan sehingga agama diseret untuk dijadikan alasan untuk merasionalkan dalam mencintainya. Jangan sampai menyatakan ; “Cinta tanah air sebahagian daripada iman” sedangkan tiada sandarannya apatah lagi berbohong atas nama Rasulullah SAW. Kalau orang cinta tanah air membawakan hadis palsu seperti itu, maka orang yang sangat mencintai kucing pula boleh membawakan hadis palsu lain:
حُبُّ الْهِرَّةِ مِنَ الإِيْمَانِ
"Cinta kucing itu sebahagian daripada iman."
Islam mengajarkan pada kita bahawa setiap bumi yang dikuasai umat Islam dan diterapkan syari’at Islam adalah Negara Islam. Dimanapun dan pada bila-bila masa pun. Tidak dibatasi dengan warna kulit dan bangsa sebenarnya. Atau tidak juga dibatasi oleh sempadan tanah (border) yang ditentukan oleh manusia. Oleh itu, jika syari’at Islam diterapkan di negara tersebut kemudian diserang oleh musuh-musuh Islam, wajib bagi umat Islam seluruh dunia untuk membela dan mempertahankan nya.
TAK SABAR MENUNGGU BUKU ‘CUIT-CUIT UST KAY’ (CCUK) EDISI PERTAMA TERBITAN KARANGKRAF… PASTIKAN ANDA TIDAK TERLEPAS UNTUK MEMILIKINYA !
KESIMPULAN :
Musuh-musuh Islam melalui aktiviti penjajahan kepada negara-negara Islam telah berjaya melakukan ‘pecah dan perintah’. Sehinggakan negara Islam telah terpisah-pisah dan mereka tidak merasakan satu kesatuan umat di dunia Islam.
Sempena BULAN KEMERDEKAAN ini bermula hari ini, Ust Kay akan menyentuh perkara-perkara yang berkaitan semangat patriotik kepada negara. Esok kita bincang perlunya cinta pada negara berdasarkan sirah Nabi Muhammad SAW pula, insya Allah ! Wallahu a’lam - Cintailah negara kerana Allah, jangan cintakan negara melebihi cinta kita kepada Allah. Ukay’s

BERDAMPINGLAH DENGAN KU WAHAI..

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Rabu, 1 Zulkaedah 1435H. BERDAMPINGLAH DENGAN KU WAHAI..
Berdamping dengan ulama’ dan orang soleh adalah suatu perkara yang perlu kita tekankan dalam kehidupan kita seharian. Orang soleh akan menjadi cermin bagi diri kita. Beruntunglah sesiapa yang bersama mereka, rugilah bagi yang menjauhi mereka dan celakalah bagi yang memusuhi mereka.
PENCERAHAN :
Di akhirat kelak, amalan berdamping dengan ulama’ dan orang soleh ini ada nilainya di sisi Allah, sekalipun di dunia dahulunya, seseorang itu tidak pernah berdamping dengan ulama’ atau orang soleh, melainkan hanya sekali sahaja dalam satu majlis makan, ia tetap dikira bernilai di sisi Allah. Antara hikmahnya ialah mendapat syafaat daripada mereka.
Jesteru, apakah kita di dunia ini memilih untuk mendampingi atau menjauhi ulama’ ini? Marilah kita renung sejenak dan kenali golongan yang diizinkan Allah untuk memberi syafaat kepada kita. Mudah-mudahan kita akan berusaha mendampingi mereka dan amalan mereka. Antara golongan yang diizinkan Allah untuk memberikan syafaat ialah :
1. Para Nabi dan yang paling utama adalah Nabi Muhammad SAW.
2. Para malaikat. Berdasarkan firman Allah;
يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يَشْفَعُونَ إِلَّا لِمَنِ ارْتَضَى وَهُم مِّنْ خَشْيَتِهِ مُشْفِقُونَ
“Allah mengetahui segala sesuatu yang dihadapan mereka (malaikat) dan yang di belakang mereka, dan mereka tiada memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai Allah, dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.” (QS. Al-Anbiya : 28)
3. Orang Siddiqin dan yang mati Syahid. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud bahawa Nabi SAW bersabda ; “… Tidaklah seseorang memberikan syafaat lebih banyak dari pemberian syafaat Nabimu, kemudian para malaikat lalu orang-orang yang mati syahid.” (HR : Tirmidzi, Hakim yang disahihkan oleh Baihaqi)
4. Orang soleh yang berbuat baik kepada manusia. Dalam syarah An-Nawawi, mengatakan bahawa syafaat orang beriman adalah bagi orang yang masuk neraka. Lalu Allah memerintahkan orang yang layak memberikan syafaat agar mengeluarkan mereka darinya atau kepada orang yang seharusnya ke neraka setelah orang itu berada dibarisan yang sedia dihumban ke neraka.
5. Para penghafaz Al-Quran. Saidina Ali r.a berkata bahawa Nabi SAW bersabda: ”Barangsiapa yang membaca Al-Quran, menghafalkannya, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah akan memasukkannya ke syurga dan dia boleh memberikan syafaat kepada 10 anggota keluarganya yang kesemuanya sepatutnya masuk neraka.” (HR : At-Tirmidzi & Ibnu Majah)
6. Anak-anak kecil yang meninggal dunia yang belum sampai usia baligh atau taklif. Nabi SAW Bersabda; ”Bahawa pada hari Kiamat nanti anak-anak kecil akan berdiri lalu dikatakan kepada mereka,”Masuklah ke syurga.” Maka mereka mengatakan,”(Saya akan masuk) sehingga ayah-ayah kami masuk (juga) ke syurga. Dikatakan kepada mereka; “Masuklah kalian dan bapak-bapak kalian ke syurga.” (HR : Muslim dan An-Nasa’i)
ANDA TERLEPAS CCUK YANG LEPAS? DAPATKAN ‘CCUK EDISI BUKU’ TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA… TIDAK LAMA LAGI !
Kata Imam Jaafar as-Siddiq r.a : “…Barang siapa memasuki tempat-tempat yang biasa dikunjungi orang-orang bodoh, maka dia akan direndahkan. Barang siapa bergaul dengan ulama’, dia akan dimuliakan. Dan barang siapa memasuki tempat-tempat kemaksiatan, maka dia akan dituduh berbuat maksiat”.
KESIMPULAN :
Tika dan saat ini Ust Kay sedang bersama barisan para alim ulama’ dari kalangan Jurulatih Utama (J.U) Guru Mursyid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS). Rasa ‘sejuuuk je’ bila dapat duduk bersama mereka terutama di bilik aircond dan minum air sirap ais pagi-pagi ni… Wallahu a’lam - Makan ulam bersama ulama’ di atas tikar sulam. Ukay’s

FAKTA @ AUTA ?

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Selasa, 30 Syawal 1435H. FAKTA @ AUTA ?
Ust Kay antara peminat subjek sejarah. Sewaktu ambil peperiksaan SPM dahulu, dapat markah credit yang baik. Daripada sejarah kita dapat mengenali asal-usul kita, asal-usul negara kita. Cuma yang membimbangkan Ust Kay ialah adakah sejarah itu benar-benar fakta atau sekadar auta !
PENCERAHAN :
Almarhum Dr. Said Ramadhan Al-Bhuti dalam mukadimah buku Fiqh As-Sirah menyatakan tiada catatan kitab sirah atau sejarah yang khusus tentang Baginda Rasulullah SAW. Kebanyakannya terselit di antara kitab-kitab hadis muktabar yang ada dan sedikit catatan dari Kitab Sirah Ibnu Hisyam.
Kebanyakannya ditulis oleh para orientalis Barat yang sudah tentu akan menulis sejarah Nabi Muhammad SAW mengikut selera mereka. Ironinya kebanyakan manuskrip-manuskrip sejarah dan kitab-kitab lama ilmuan Islam tersimpan di muzium Barat atau Eropah. Seperti dakwaan penyimpanan Kitab Injil yang asal terdapat di Muzium Jerman.
Begitulah juga sejarah negara kita. Sejarah ditulis oleh satu pihak sahaja, sudah tentu akan menyisihkan pihak-pihak yang lain untuk dilihat sebagai hero sejarah. Contohnya, pemilihan golongan proxy sebagai pemerintah menggantikan penjajah, menjadikan sejarah kemerdekaan ini semakin meragukan kerana ia kelihatan lebih menguntung penjajah. Tiada seorang pun sebenarnya dari golongan proxy ini yang dibunuh atau dipenjarakan oleh penjajah. Ini fakta bukan auta. Firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
(QS Al-Hujraat: 6)
Sekiranya golongan proxy tidak memimpin negara maka pastilah golongan agamawan akan menjadi pemimpin kepada kemerdekaan Malaya. Ini sememangnya bertentangan dengan nawaitu penjajah yang berusaha untuk memadamkan cahaya Islam di dunia selepas jatuhnya empayar Islam Uthmaniyyah yang terakhir pada tahun 1924 di Turki.
Hakikatnya golongan proxy yang ada adalah anak angkat penjajah. Watak mereka dihidupkan untuk menjadi wira ciplak yang menentang mereka kononnya, manakala gerakan-gerakan kemerdekaan lain yang wujud pada masa itu dimatikan dan diharamkan. Ini fakta…
Lebih jijik lagi golongan proxy yang dipilih bagi menguasai Tanah Melayu ‘bagaikan’ akur terhadap tindakan-tindakan penjajah tersebut. Sejarah telah dijajah dan dilencongkan. Para alim ulama’ dan tokoh-tokoh awal yang menjadi peniup semangat kemerdekaan seperti Dr Burhanudin al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Ust. Abu Bakar al Baqir, Ahmad Boestamam dan lain-lain lagi dipadamkan dari sejarah dan dilenyapkan dari pengetahuan generasi pasca merdeka. Hanya golongan proxy sahaja dicanangkan menjadi watak utama di dalam buku teks sejarah. Ini auta…
DAPATKAN ‘CCUK EDISI BUKU’ TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA TIDAK LAMA LAGI…INSYA ALLAH !
Sebenarnya penjajah mula sedar, lambat laun kemerdekaan Tanah Melayu pasti akan berlaku akibat daripada kesedaran rakyat. Oleh itu mereka tiada pilihan lain dengan menggunakan cara ini untuk ‘membebaskan’ Malaya dan golongan proxy adalah peluang terbaik mereka agar tidak mengalami kerugian besar seperti ruginya penjajah Belanda di Indonesia.
KESIMPULAN :
Sekiranya semua golongan diraikan sebagai turut menyumbang dalam sejarah kemerdekaan negara, pasti sambutan Hari Kemerdekaan lebih meriah dan bermakna. Kerana tiada pihak yang berasa hati, tiada pihak yang rasa terpinggir dari teks sejarah yang fakta. Wallahu a’lam - Sekarang ini juga Ust Kay akan pacakkan bendera Malaysia di rumah dan di kereta, bila sejarah bukan lagi auta. Ukay’s

BAI…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Isnin, 29 Syawal 1435H. …BAI…
Antara sifat kekurangan manusia ialah sering atau mudah lupa. Perlu diingat dan ditegur selalu. “Al-Insanu nasiya” maksudnya manusia itu sifatnya pelupa. Sebab itu, mantan Perdana Menteri kita yang keempat pernah menyatakan ‘Melayu mudah lupa’, termasuk dirinya…lupa bahawa dirinya bukan PM lagi…
PENCERAHAN :
Abu Laits As-Samarqandi terpaksa mengarang sebuah kitab setebal 3 inci yang bertajuk ’ Tanbihul Ghafilin’ @ Peringatan Pada Yang Lalai untuk mengingatkan sesama manusia akan sifat kekurangan ini. Contoh yang klasik, Ramadan baru sahaja meninggalkan kita sebulan yang lalu, belum pun habis biskut raya dirumah tetapi ada di antara kita yang sudah lupa jalan ke masjid atau surau. Sudah lupa di mana simpan Al-Quran… Ust Kay membahagikan manusia seperti ini kepada 5 jenis, iaitu;
1. ABAI
Golongan ini sama ada terabai, diabai atau sengaja mengabaikan tuntutan dan ajaran agama. Orang seperti ini mengabaikan ilmu dan amal ibadat kerana menganggap ianya kurang atau tidak penting berbanding urusan dunia mereka. ‘Just ignore it’… Ilmu Fardu Ain atau Fardu Kifayah tidak dipedulikannya. Apatah lagi hendak mengamalkannya.
Mereka mengabaikan terus hal berkaitan agama. Mereka meninggalkan Allah, Allah juga akan ‘meninggalkannya’, mereka tidak pandang pun Allah (hak Allah), Allah juga tidak akan pandang mereka. Mereka abai, mereka terabai !
2. CUAI
Golongan ini ada niat untuk beramal ibadat tetapi cuai pada sudut disiplin ilmunya. Janji boleh solat, janji berpuasa seperti orang lain atau janji sampai Mekah untuk mengerjakan umrah atau menunaikan haji. Soal kesempurnaan ibadat tersebut, syarat sah atau rukunnya apatah lagi falsafah setiap ibadat tersebut diambil mudah sahaja.
Contoh, orang lelaki sembahyang tetapi kain seluar, pelikat dan kain jubahnya meleret-leret sehingga menutupi buku lali. Sepatutnya di atas buku lali seperti seluar Wak Doyok, cuma jangan ketat…
3. LALAI
Golongan mereka yang sudah mempunya ilmu agama yang mantap dan perlaksanaan ibadat yang benar. Seperti yang pernah disebut oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, telah mempunyai antara 10 ciri-ciri muslim mukmin sejati iaitu ‘Sohihul ibadah’ atau ibadat yang benar. Tetapi manusia seperti ini akan melambat-lambatkan atau sengaja meninggalkannya.
Contoh ‘tembak tepat’ ialah para pelajar yang baru menamatkan pengajiannya di Timur Tengah seperti di Mesir atau Jordan, tetapi bila pulang ke tanahair semuanya ‘mengeram’ dan membisu di rumah masing-masing. Tidak mahu tampil membimbing masyarakat… Jika datang ke surau atau ke masjid pun lewat supaya terlepas daripada menjadi imam. Ilmu yang ada untuk amal sendiri-sendiri sahaja…
4. LONGLAI
Golongan ini tidak malas mengerjakan perintah agama tetapi iman mereka lemah dan mudah terpedaya. Walaupun mereka juga dipanggil ‘orang agama’ seperti ‘orang surau’ atau ‘orang masjid’ dan para asatizah, tetapi mereka juga tewas dalam godaan hawa nafsu dan tarikan dunia.
Sebab itu, kita mungkin pernah dengar AJK masjid atau surau selewengkan kewangan tabung dan khairat kematian, Tok Imam ditangkap khalwat, ustaz ajar ajaran sesat dan sebagainya lagi. Ataupun baru balik haji punya semangat datang ke masjid berjubah, sehingga minum di warung kopi pun berjubah, berkopiah bagai. Selepas sebulan-dua, tinggal kopiah je…itupun kadang-kala lupa pakai !
5. SALAI
Golongan ini paling berani. Mereka bukan tidak tahu perintah dan larangan agama tetapi sengaja melanggarnya. Seolah-olah telah bersedia dan tidak kisah untuk dibakar dan ‘disalai’ di dalam neraka nanti. Pegangan hidup mereka : “Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke lengan masam”. Hati mereka telah ditutup oleh Allah untuk menerima hidayah. Firman Allah SWT;
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
"Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf?" (QS Al-Jathiya : 23)
DAPATKAN ‘CCUK EDISI BUKU’ TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA TIDAK LAMA LAGI…INSYA ALLAH !
KESIMPULAN :
Jangan abai, jangan cuai dan jangan lalai. Jangan pula longlai kelak kamu akan disalai… Wallahu a’lam - Bai-bai.. Ukay’s

RASA SELAMAT…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Ahad, 28 Syawal 1435H. RASA SELAMAT…
Di negara kita Malaysia yang tercinta ini, tidak ada tempat yang benar-benar selamat sekarang, termasuk di dalam rumah sendiri. Kenyataan ini mungkin ekstrem dan keras, tetapi itulah hakikat pahit yang sedang kita hadapi sekarang. Cuba sebut, mana tempat yang harta dan nyawa kita rasa benar-benar selamat? Di mana? Masjid? Kerap kali berlaku kecurian juga adalah dalam kawasan masjid…
PENCERAHAN :
Pagar luar rumah yang dikunci serta diletakkan mangga besar belum menjamin tidak dicerobohi. Tidak cukup dengan pagar luar rumah yang dimangga, usaha ‘memagari’ setiap inci pintu dan tingkap dengan jeriji besi juga tidak mampu menyekat kehebatan perompak yang boleh memotong besi keras berkenaan. Rumah tetap dicerobohi walaupun pelbagai langkah pencegahan telah diambil. Jika tidak menerusi pintu, bumbung pula menjadi laluan. Justeru, tidur kita jadi tidak lelap…tidak merdeka !
Selepas meninggalkan rumah dengan perasaan risau takut rumah dicerobohi, satu perasaan bimbang lain pula yang muncul. Bimbang kalau-kalau menjadi salah seorang mangsa ragut dan rompak di jalanan yang semakin menjadi-jadi sekarang. Baru-baru ini, kereta baharu Toyota Camry sahabat Ust. Kay terpaksa diserahkan kepada perompak yang hanya bersenjatakan parang…
Kita juga risau melepaskan anak-anak keluar bermain di luar rumah atau membiarkannya sendirian ke sekolah. Malang tidak berbau. Silap-silap haribulan, dia boleh diculik, dirogol dan macam-macam jenayah kejam lain yang boleh menimpanya bila-bila masa. Ini bukan soal paranoid. Ini soal realiti apa yang sedang berlaku di persekitaran kita sekarang. Anda hanya perlu menyelak surat khabar untuk mengetahui kebenaran betapa kes-kes jenayah ini berlaku setiap saat, minit, jam dan setiap hari. Allah SWT telah berfirman ;
قُلْ مَن يُنَجِّيكُم مِّن ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً لَّئِنْ أَنجَانَا مِنْ هَٰذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ
Katakanlah: “Siapakah yang mampu menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): “Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur”. (QS Al-Anaam : 63)
Islam itu ertinya bukan ‘selamat’. Selamat dari kalimah ‘Salmun’, Islam bermaksud menyelamatkan. Hanya Allah SWT lah sahaja yang mampu untuk menyelamatkan kita. Oleh itu untuk selamat kita wajib mengikut hanya pada jalan-Nya. Masuk kedalam Islam keseluruhannya… bukan suku-suku, bukan separuh-separuh. Bukan pada urusan kelahiran, kematian dan perkahwinan sahaja kita mengikut Islam, tetapi dalam semua aspek kehidupan termasuklah dalam urusan tadbir urus sesebuah negara.
Bacalah catatan seorang sahabat Ust Kay yang baru-baru ini melawat Negara Brunei ‘Darus Salam’ negara ‘Rumah Keselamatan’. “Aku berasa cukup selamat kerana aku sedang melalui negara yang melaksanakan undang-undang Islam. Negara yang mengharamkan pusat hiburan dan penjualan arak. Ini dapat mengurangkan risiko orang mabuk yang bertindak tanpa akal yang waras. Negara Brunei juga mempunyai ekonomi yang pesat dan kaya raya. Rakyat tidak dibebani oleh hutang piutang disebabkan dasar cukai kerajaan yang melampau. Ini mengurangkan risiko rakyat bertindak terdesak dengan mencuri dan sebagainya. Inilah hikmah negara yang melaksanakan undang-undang Allah untuk menjamin keselamatan pada manusia hidup di dunia dan di akhirat nanti.”
DAPATKAN ‘CCUK EDISI BUKU’ TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA TIDAK LAMA LAGI…INSYA ALLAH !
KESIMPULAN :
Pilihlah…! Nak sekadar ‘rasa selamat’ bila melihat kehadiran anggota keselamatan berhampiran dengan kita (itupun belum tentu), atau pun kita nak benar-benar selamat dan dijamin oleh Allah SWT. Wallahu a’lam - Naik kapal terbang pun rasa belum selamat… Ukay’s

SEDIHNYA…!

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Sabtu, 27 Syawal 1435H. SEDIHNYA…!
Sedih merupakan salah satu emosi akibat berhadapan dengan situasi yang mengecewakan, dan muncul akibat penderitaan kerana luka, derita, kehilangan orang yang disayang atau sakit.
PENCERAHAN :
Oleh itu, kita akan menangis ! Namun demikian, menangis bukanlah emosi tetapi menangis adalah ekspresi dari sebuah emosi. Emosi yang paling sering menjadikan kita menangis sebagai ekspresinya adalah kesedihan (sadness) tapi bukanlah bererti kita hanya boleh menangis jika sedih sahaja.
1. Jangan sedih bila orang lain tidak memahami anda.. Tapi sedihlah kerana anda tidak mahu memahami orang lain.
2. Jangan sedih bila orang lain tidak mempercayai anda….Tapi sedihlah kerana anda tidak percaya diri sendiri.
3. Jangan sedih bila orang lain tidak memberi kesempatan kepada anda… Tapi sedihlah kerana anda belum buat persiapan.
4. Jangan sedih bila orang lain tidak menghargai anda… Tapi sedihlah kerana anda tidak pernah menghargai orang lain.
5. Jangan sedih bila orang lain menghina anda… Tapi sedihlah kerana anda membuat hina diri sendiri.
6. Jangan sedih bila orang lain memaki anda..
Tapi sedihlah kerana anda bermulut jahat pada orang lain.
7. Jangan sedih orang selalu mengritik kita… Tapi sedihlah kerana anda tidak pernah mahu perbaiki diri.
8. Jangan sedih kerana anda selalu jatuh… Tapi sedihlah kerana anda tak mahu bangkit kembali.
9. Jangan sedih kerana perjalanan hidup anda pahit getir… Tapi sedihlah kerana anda tak pernah belajar dari pengalaman.
Hidup ini satu pilihan, apapun yang membuatkan kita sedih, tinggalkan. Apapun yang membuatkan kita tersenyum jangan lepaskan. Kesedihan bukan untuk diratapi, tetapi merupakan panggilan jiwa untuk muhasabah diri dan berbuat yang lebih baik untuk diri. Tidak ada seorang pun dalam hidup ini sangat kuat.
Semua orang merasai kesedihan, tetapi kadang-kadang seseorang mampu pura-pura senyum. Kadang-kadang, seseorang itu lebih memilih untuk tersenyum kerana tidak ingin menunjukkan mengapa dirinya bersedih.
Tuhan Maha Penyayang, Maha Pengasih. Hanya Tuhan tempat kembali, hanya Tuhan yang mampu mengubah kesedihan kepada kegembiraan.
Seseorang yang kita nampak kuat, tidak bererti dia tidak pernah bersedih. Dia bersikap seperti tidak ada yang salah, tetapi mungkin hatinya terluka. Ambil pengajaran dari masa yang lalu dan tinggalkan kesedihan. Jangan biarkan kesedihanmu menutup jalan masa hadapanmu.
Senyumlah, tinggalkan kesedihan. Lupakan ketakutanmu. Sakit yang kamu rasa tidak setara dengan kebahagiaan yang bakal kamu kecapi.
Jangan pernah menyalahkan orang lain di atas kesedihanmu kerana kebahagiaanmu adalah urusanmu. Kebahagiaan kita harus datang dari dalam diri kita. Percaya pada diri sendiri walaupun sedang bersedih kerana pembakar semangat terbesar dalam hidup kita adalah diri kita sendiri.
Tuhan tidak pernah membiarkan hamba-Nya berpanjangan dalam kesedihan, pasti ada rancangan indah untuk membayar semua air mata kita. Tidak perlu bersedih kerana kekurangan diri kita. Ketahuilah, Tuhan pasti memberi kelebihan kepada setiap orang yang memiliki kekurangan.
DAPATKAN ‘CCUK EDISI BUKU’ TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA TIDAK LAMA LAGI…INSYA ALLAH !
KESIMPULAN :
Ketika seseorang melukaimu, jangan bersedih kerana Allah sentisa mendatangkan penyembuh buatmu. Ketika seseorang yang cukup bermakna buatmu pergi, jangan terus bersedih kerana kamu akan kehilangan dirimu sendiri yang juga cukup bermakna pada orang lain. Wallahu a’lam - Jangan ‘sedey-sedey’ ! Ukay’s

Jumaat, 22 Ogos 2014

PRAY FOR MH17…

ه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Jumaat, 26 Syawal 1435H. PRAY FOR MH17…
Demi Allah, pada pagi ini air mata Ust Kay teralu murah rasanya. Laju bercucuran membasahi pipi mengenang kehilangan insan-insan yang disayangi. Hanya orang yang telah kehilangan (kerana meninggal dunia) orang yang disayang sahaja memahami betapa sedih, pilu dan hibanya rasa hati ini. Kapten, anak kapal dan para penumpang MH17, kami bersamamu…
PENCERAHAN :
Ust Kay dan seluruh warga maya media sosial, marilah bersama pemimpin-pemimpin kita dan seluruh warga Malaysia yang prihatin mendoakan insan-insan (khususnya kepada mereka yang beragama Islam) yang telah terkorban dalam tragedi ini semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
اِنّا لِلّهِ وَاِنّا اِلَيْهِ رَجِعُوْنَ
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيم
الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِين
الرَّحمـنِ الرَّحِيم
مَـالِكِ يَوْمِ الدِّين
إِيَّاك نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِين
اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيم
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ
غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ
وَلاَ الضَّالِّين
Hentikan segala bicara yang boleh menyinggung perasaan waris dan ahli keluarga mangsa. Pejamkan mata, bayangkan orang yang anda sayangi telah ‘pergi’ buat selama-lamanya…Ust Kay telah kehilangan ibu, ayah, abang dan anak sendiri (kemalangan juga)
KESIMPULAN :
Beruntunglah kamu wahai insan-insan terpilih pilihan Allah…
Pemergianmu satu dunia tangisi,
Pemergianmu satu dunia bacaan fatehah mengiringi,
Pemergianmu satu dunia mengingati…
Wallahu a’lam - …………………………………. Ukay’s

Khamis, 21 Ogos 2014

CARA MENGHINDARI TEKANAN MENURUT ISLAM

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Khamis, 25 Syawal 1435H. CARA MENGHINDARI TEKANAN MENURUT ISLAM
Sekarang ini ramai orang hidup dalam tekanan. Sama ada kita sedari atau tanpa kita sedari, besar atau kecil tekanan tersebut. Contoh, asyik menunggu tarikh-tarikh yang tertentu oleh orang yang tertentu kerana sebab-sebab yang tertentu juga. Mula-mula 10hb. kemudian pinda ke 17hb. Selesai 17hb. tunggu pula 27hb. Wallahu a’lam…
PENCERAHAN :
Sebagai individu Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan seperti ini adalah dengan kembali kepada ajaran dan syariat Islam. Ini selaras dengan firman Allah SWT ;
هُوَ الَّذِي أَنزَلَ السَّكِينَةَ فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَّعَ إِيمَانِهِمْ وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
"(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (QS Al-Fath : 4)
Antara kaedah untuk menangani tekanan menurut Islam ialah ;
1) Menjaga solat fardhu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”
2) Bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir. Sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 28 maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.’
3) Mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa; “Al-Quran adalah syifa’ (penawar) kepada kesakitan minda.” (HR: Bukhari).
4) Keyakinan tentang kehidupan. Meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya.
5) Amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu…”

6) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk. Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.
7) Bersangka baik dengan Allah. Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
DAPATKAN ‘CCUK EDISI BUKU’ TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA TIDAK LAMA LAGI…INSYA ALLAH !
KESIMPULAN :
Antara usaha untuk menangani tekanan ini ialah berjumpa atau serahkan sahaja kepada ‘ahlinya’. Contoh, kita ada Majlis Syura Ulama’ dan ada saff kepimpinan umara’ yang bertaraf Tok Guru, bukan seorang ramai pula tetapi kita masih tidak puas hati dengan keputusan yang telah mereka buat, itu yang stress tu…Siapalah kita jika dibandingkan dengan mereka. Wallahu a’lam - Ust Kay stress dengan orang yang stress dengan ulama’. Ukay’s.

AL-HADAAD

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Khamis, 29 Rejab 1435H)
Al-Hadaad
Al-Hadaad (Berkabung) ataupun Ihdad menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah ialah meninggalkan berhias-hias samada dengan pakaian, barang kemas dan bau-bauan yang harum. (Raudhah Al-Thalibin, 8 / 405) Ini bermaksud perempuan yang berihdad ialah perempuan yang meninggalkan perkara yang berkaitan dangan berhias dan apa-apa yang boleh merangsang umpamanya memakai minyak wangi serta bersolek.
Tuntutan berkabung ini pada lazimnya hanyalah ditujukan kepada perempuan yang kematian suami selama iddahnya. Sementara lelaki tidak berkaitan dengan tuntutan berkabung ini. Jangan berghuluw (berlebih-lebihan) dalam urusan agama.
PENCERAHAN :
Berkabung, dalam bahasa Arabnya adalah al-Hadaad ( الْحَدَادُ ). Maknanya, tidak mengenakan perhiasan baik berupa pakaian yang menarik, minyak wangi atau lainnya yang dapat menarik orang lain untuk menikahinya. Pendapat lain menyatakan, al-Hadaad adalah sikap wanita yang tidak mengenakan segala sesuatu yang dapat menarik orang lain untuk menikahinya seperti minyak wangi, celak mata dan pakaian yang menarik dan tidak keluar rumah tanpa keperluan mendesak, setelah kematian suaminya.
Al-Hadaad, terbahagi kepada dua. Pertama, berkabung dari kematian suami selama 4 bulan 10 hari. Kedua, berkabung dari kematian salah satu anggota keluarganya, selain suami iaitu selama 3 hari sahaja. Pembahagian ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW :
لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ إِلَّا عَلَى زَوْجِهَا رواه مسلم
"Tidak halal seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya" (HR : Muslim)
فَإِنَّهَا تُحِدُّ عَلَيْهِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
"Maka ia berkabung atas hal tersebut selama empat bulan sepuluh hari" (HR : Bukhari)
Amalan perkabungan hanya khas bagi wanita sahaja.
Manakala kaum lelaki, tidak disyariatkan berkabung atas kematian. Perkara ini disepakati oleh ulama. Kita boleh lihat dalam kitab-kitab feqah lama dan moden yang membahaskan hukum berkabung, ulama hanya membahaskan tentang perkabungan wanita.
Cuma, ada segelintir ulama yang mengisyaratkan kepada keharusan berkabung bagi lelaki, dalam tempoh tiga hari sahaja. (Kitab al-Inshaf 6/279 dan Matolib Uli al-Nuha 1/924) Itupun, hanya bagi individu yang ditimpa musibah kematian dari kalangan saudara maranya sahaja. Bukan orang biasa yang tiada pertalian darah atau nasab.
Manakala, adat berkabung atas kematian pemimpin, dengan cara seperti merendahkan bendera, memakai pakaian serba hitam, songkok berlilit dan seumpamanya, ia satu perkara yang tidak ada asas dalam syarak dan tidak didapati sumbernya dalam agama, dan perbuatan salafus soleh. Malahan, ketika wafat pemimpin paling agung, Rasulullah SAW, sahabat tidak melakukan perkabungan seumpama ini.
Adapun memakai pakaian tertentu seperti pakaian hitam dan sejenisnya, maka ini tidak ada asalnya dan merupakan perkara yang batil dan tercela. (Fatwa Nur’alad Darb - Asy-Syeikh Ibnu Utsaimin hal. 76). Ini menunjukkan ia tidak syar’ie. Malah lebih dibimbangi amalan umpama ini diceduk daripada adat masyarakat bukan Islam khususnya Agama Kristian. Sedangkan kita dilarang tasyabbuh (meniru) adat mereka.
Tasyabbuh (menyerupai) orang-orang kafir adalah haram meskipun tidak mempunyai maksud seperti mereka, dengan dalil hadis dari Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhuma dari Rasulullah SAW ;
من تشبه بقوم فهو منهم
“Barangsiapa yang menyerupai dengan satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.” (HR. Abu Dawud)
Hadis ini menetapkan berbagai hal tentang dilarangnya menyerupai orang-orang kafir. ‘Amr bin Syu’aib telah meriwayatkan dari bapaknya dan dari datuknya bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
ليس منا من تشبه بغيرنا، لا تشبهوا باليهود ولا النصارى
“Bukan termasuk golongan kami orang yang menyerupai kaum selain kami. Jangan kalian menyerupai Yahudi dan Nashrani.”
Maka amalan berkabung sempena kematian pembesar atau kerabat istana bukanlah dari ajaran Islam. Bahkan menyanggahi apa yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Mereka yang meninggal pada hari ini tidak lebih mulia dari insan-insan soleh bermula Rasulullah SAW dan selepas baginda. Jika kematian mereka pun umat tidak berkabung kerana mematuhi arahan Rasulullah SAW, apakah kita merasai pembesar dan kerabat yang meninggal pada zaman ini lebih mulia dari mereka? Sama sekali tidak. Kepada Allah kembali segala urusan! (MAZA)
KESIMPULAN :
Apa yang Ust Kay nampak pelik sikit situasi masyarakat kita ni, bila ada kematian raja-raja atau pembesar barulah nak hentikan rancangan hiburan kat tv, konsert dan sebagainya, yang pembaca berita pula barulah nak pakai tudung. Bacaan Al-Quran pun tak henti-henti di semua saluran TV, Alhamdulillah ! Lepas tujuh hari lepas tu hiburan akan rancak kembali…
Wallahu a’lam - Berkabung maksiat selamanya. Ukay’s

TEKANAN YANG MENEKAN…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Rabu, 24 Syawal 1435H. TEKANAN YANG MENEKAN…
Kematian aktor Hollywood Robin Williams, adalah bukti bahawa ; “Kebahagian, ketenangan dan kesenangan bukan milik bapak tetapi milik Allah Yang Maha Kuasa” (pinjam dialog Allahyarham A.R. Tompel dalam ‘Filem Ahmad Albab’) Maksudnya, manusia tidak mampu memilikinya walaupun dia seorang penghibur antarabangsa tanpa izin dari Allah.
PENCERAHAN :
Stress atau rasa tertekan kadangkala berpunca dari faktor dalaman individu tersebut seperti keinginan melampau untuk melakukan yang terbaik, terlalu ideal dan tiada keyakinan diri atau cepat putus asa. Selain kerana kurang pengetahuan agama, terlalu hendak menjaga kepentingan orang lain dan terlalu terdesak untuk mendapat perhatian dari seseorang.
Faktor luaran yang turut menyumbang gejala stress atau tekanan ini ialah Ketua / majikan (arahan tidak jelas & tidak sekata), konflik rumahtangga atau konflik keluarga (anak bermasalah, penceraian ibubapa), perubahan kerja yang terlalu kerap ataupun penempatan yang terlalu lama di suatu tempat kerja.
Begitu juga faktor semasa seperti kegawatan ekonomi, malapetaka, kesihatan dan juga perubahan politik yang terlalu drastik, plastik dan bombastik ! Akibatnya berlaku perubahan kedudukan, kehilangan jawatan dan punca kewangan yang mendadak dan sebagainya.
Tekanan atau stress menurut pandangan Islam, bukan berpunca dari tekanan mental semata-mata, tetapi juga berpunca dari kecelaruan dan kelemahan mengurus hati, roh, nafsu dan akal. Menyebabkan rapuhnya hubungan individu itu dengan Allah SWT dan kehidupannya menjadi sempit, seolah-olah tiada jalan keluar dari setiap inci masalah yang dihadapinya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Allah menguji seseorang itu dengan perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, nyawa dan hasil-mahsul yang tidak menjadi dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar”. (QS Al-Baqarah : 155)
Kata-kata hikmah Syeikh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah berkaitan menghadapi tekanan ini ;
1) Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah SWT.
2) Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan dengan Allah SWT.
3) Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah SWT.
4) Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa dengan-Nya
5) Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan larangan-Nya serta qadha dan qadar-Nya serta sentiasa sabar sehingga menemui-Nya
6) Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepada-Nya dan bermohon hanya kepada-Nya.
Untuk yang selalu tertekan. Kisah ini tidak ada kaitan dengan yang hidup atau pun yang sudah tidak hidup. Kisah yang cukup menyedihkan… Kisah seorang suami yang tertekan.
ISTERI: Kenapa abang call?
SUAMI: Abang tertekan…
ISTERI: Abang ok?? Abang ada masalah apa? Cerita lah dengan saya…
SUAMI: ??? Saya tertekan jer… Mana ada masalah apa-apa…
ISTERI: Tak apa Bang, kalau abang ada masalah cerita laa….
SUAMI: Masalah apa nye…?? Abang ok jer… Abang cuma tertekan jer…
ISTERI: Ye lah… Kalau abang tertekan… abang kena cerita kat saya…saya kan isteri Abang !
SUAMI: Adoyai… Tertekan pun kena cerita ke? Masa keluarkan telefon dari poket tadi, abang tertekan nombor telefon sayang, abang dah cakap ‘tertekan’ tapi awak tak faham-faham…
ISTERI: ……..
Release tension sikit !…. Esok kita akan bincang cara mengatasinya menurut Islam, insya Allah !
DAPATKAN ‘CCUK EDISI BUKU’ TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA TIDAK LAMA LAGI…
KESIMPULAN :
Setiap manusia tidak terlepas dari ujian hidup. Yakinlah setiap masalah ada jalan penyelesaian Tabah dan redha menghadapi segala ujian-Nya. Wallahu a’lam - Jangan hidup tertekan atau menekan orang yang hidup. Ukay’s









Selasa, 19 Ogos 2014

BERSYUKUR TANDA TIDAK KUFUR…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Selasa, 23 Syawal 1435H. BERSYUKUR TANDA TIDAK KUFUR…
Menurut Kamus Arab kata syukur diambil dari kata syakara, yaskuru, syukran dan tasyakkara yang bererti mensyukuri-Nya atau memuji-Nya kurniaan-Nya. Syukur berasal dari kata syukuran yang bererti mengingat akan segala nikmat-Nya. Suatu sifat yang penuh kebaikan dan rasa menghormati serta mengagungkan atas segala nikmat-Nya, baik diekspresikan dengan lisan, dimantapkan dengan hati mahupun dilaksanakan melalui anggota badan.
PENCERAHAN :
Ketika kita menerima pemberian Allah kita memuji-Nya, tetapi ini sama sekali belum mewakili kesyukuran kita. Pujian yang indah dan syahdu saja belum mencukupi, baru dikatakan bersyukur bila diwujudkan dalam bentuk amal soleh yang diredhai Allah. Abu Hazim Salamah bin Dinar berkata;
“Perumpamaan orang yang memuji syukur kepada Allah hanya dengan lidah, namun belum bersyukur dengan ketaatannya, sama halnya dengan orang yang berpakaian hanya mampu menutup kepala dan kakinya, tetapi tidak cukup menutupi seluruh tubuhnya. Apakah pakaian demikian dapat melindungi dari cuaca panas atau dingin ?”
Dimensi syukur dikatakan syukur yang sempurna ialah apabila telah memenuhi tiga kriteria, iaitu;
1. Mengetahui semua nikmat yang Allah berikan, seperti nikmat Iman, Islam dan ketaatan dalam menjalankan perintah-Nya sehingga benar-benar menjadikan Allah sebagai pelindung dan senantiasa hadir dalam hatinya.
2. Mengungkapkan rasa syukurnya dalam bentuk puji-pujian seperti Alhamdulillah, Asy-Syukrulillah atau ucapan lainnya yang mempunyai erti yang sama.
3. Nikmat Allah yang ada, bukan untuk dirasakan sendiri melainkan untuk dikongsi bersama dengan orang lain, seperti sedekah, infaq dan menolong fakir miskin.
Ada sebuah dialog menarik antara seorang lelaki dengan Abu Hazm; Apa syukurnya kedua mata? “Apabila engkau melihat sesuatu yang baik, engkau akan menceritakannya. Tetapi apabila engkau melihat keburukan, engkau menutupinya”.
Bagaimana syukurnya telinga? “Jika engkau mendengar sesuatu yang baik, peliharalah. Manakala engkau mendengar sesuatu yang buruk, cegahlah”. Bagaimana syukurnya tangan? “Jangan mengambil sesuatu yang bukan milikmu, dan janganlah engkau menolak hak Allah yang ada pada kedua tanganmu”.
Bagaimana syukurnya perut? “Bawahnya berisi makanan, sedang atasnya penuh dengan ilmu”.
Syukurnya kemaluan? “Abu Hazm kemudian membacakan Al-Quran surah Al-Mukminun ayat 1-7”. Bagaimana syukurnya kaki? “Jika engkau mengetahui seorang soleh yang mati dan engkau bercita-cita dan berharap seperti dia, dimana dia melangkahkan kakinya untuk taat dan beramal soleh semata, maka Contohlah dia. Dan apabila engkau melihat seorang mati yang engkau membencinya, maka bencilah amalnya. Maka engkau menjadi orang yang bersyukur.”
Abu Hazm menutup jawabannya, “Orang yang bersyukur dengan lisannya saja tanpa dibuktikan dengan amal perbuatan dan sikap, maka ia ibarat seorang punya pakaian, lalu ia pegang ujungnya saja, tidak ia pakai. Maka sia-sialah pakaian tersebut.”
Atas sebab itu, konsep syukur yang sebenarnya harus kita fahami dengan jelas. Imam Ghazali, seperti dalam karyanya Ihya’ Ulum al-Din, menyatakan ;
ELEMEN PERTAMA : Untuk seseorang itu benar-benar bersyukur yang perlu ada adalah ilmu. Terbahagi kepada tiga bahagian:-
1) Seseorang itu perlu ada ilmu tentang nikmat itu sendiri akan membolehkan seseorang untuk memahami nilai nikmat tersebut dan seterusnya menghargai nikmat itu.
2) Seseorang itu perlu ada ilmu tentang siapa yang memberi nikmat. Pastinya dari Yang Maha Pemberi Rezeki, Yang Maha Pemurah adalah Allah SWT.
3) Seseorang itu perlu ada ilmu tentang siapa yang mendapat nikmat tersebut. Memahami yang menerimanya adalah kita, hamba-Nya dan makhluk Allah, supaya merasa hina dan sangat rendah diri di hadapan Allah.
ELEMEN KEDUA : Untuk bersyukur pula adalah perasaan. Apabila menerima sesuatu nikmat itu, seseorang itu haruslah mempunyai perasaan gembira, bahagia. Bagaimana mungkin seseorang itu hendak bersyukur seandainya ia tidak mengalami apa-apa rasa apabila menerima sesuatu nikmat itu?
ELEMEN KETIGA : Untuk bersyukur pula adalah amal, yakni perbuatan. Setelah seseorang itu mempunyai ilmu dan kefahaman tentang perkara yang disebutkan tadi, seterusnya mengalami perasaan bahagia, gembira dan berterima kasih, syukur tersebut perlulah dimanifestasikan melalui bentuk amal ketaatan kepada Allah.
Maka, tidak hairanlah pada hari ini jika ramai di antara kita yang hanya sekadar melafazkan syukur di bibir, tetapi tidak bersyukur dengan sebenar-benarnya. Sudah habis mesyuarat 17 haribulan yang lalu pun, masih lagi ‘potpet-potpet’ dibelakang. Masih lagi rasa tidak puas hati… maksudnya, masih lagi tidak bersyukur ! Firman Allah SWT;
وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُوْ فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لاَ يَشْكُرُوْنَ
“Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai kurnia yang besar (yang diberikan-Nya) kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak mensyukuri-Nya.” (QS An-Naml : 73)
DAPATKAN HIMPUNAN 100 HARI CCUK EDISI BUKU TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA TIDAK LAMA LAGI, TUNGGU…!
KESIMPULAN :
Setiap kali mendapat nikmat @ hilang nikmat, kegembiraan @ kesedihan, @ kebahagiaan @ kesedihan, kesihatan @ kesakitan dan kesenangan @ kesusahan yang kita peroleh sebenarnya haruslah tetap kita syukuri. Kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita… Contoh, Allah bagi kita gembira sebab Allah tahu kita layak untuk kita gembira dan Allah bagi kita sedih sebab Allah tahu kita perlu sedih untuk kita mengingati dan mendekati-Nya. Wallahu a’lam - Orang Bangla kata “Syukriah…” Ukay’s.

Isnin, 18 Ogos 2014

BERLAPANG DADA LAH KAMU…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Isnin,22 Syawal 1435H. BERLAPANG DADA LAH KAMU…
Satu perkara yang kita mesti terima ialah walau bagaimana baik dan mesra pun kita, tetap akan ada orang yang tidak berpuas hati. Itulah realiti kehidupan yang perlu diakui. Kadang kala, kita buat baik berpuluh kali tetapi hanya satu kesilapan dan kesalahan kecil yang dilakukan lalu semua perbuatan baik itu seolah-olah terhapus dan yang salah itulah juga diulang sebut berkali-kali. Jadi, berlapang dada lah…
PENCERAHAN :
Berikut adalah beberapa petua untuk kita menanam dan memupuk sifat berlapang dada:
1) Tiada yang tidak disengajakan di sisi Allah. Tiada yang kebetulan. Semuanya berlaku dengan keizinan, perancangan dan pengetahuan Allah. Apabila berlaku sesuatu perkara maka yakinlah disebalik perkara itu terkandung seribu hikmah. Mungkin Allah sedang menguji tahap keimanan dan kewala’kan kita dalam jamaah atau Allah hendak meningkatkan darjat kita, menyucikan diri kita dari dosa-dosa atau menambah kebaikan atas diri kita. Untungnya…
2) Kekal fokus dalam dakwah. Usah sekali-kali fitnah, umpatan dan cercaan itu difikirkan hingga fokus kita pada matlamat, tugas dan tanggung jawab kita tersasar. Lakukan sahaja tugasan dan aktiviti seperti biasa dan biarlah suara-suara kerdil itu tenggelam ditelan masa. Ada orang yang kata keputusan itu tidak ikut perlembagaan. Perlembagaan bukannya Al-Quran yang tidak boleh diubah. Ibarat kata boss Ust Kay yang baru; “Peraturan ikut buku, bertindak ikut aku namun ada toleransi di situ!”
3) Selidik siapa yang berkata-kata itu. Ada kritikan yang membina dan ada pula dengan tujuan yang jahat atas sebab irihati, cemburu dan sakit hati. Kalau kritikan itu dilontarkan dari orang yang bersembunyi di sebalik identiti palsu, meski pun bernas, namun tujuannya boleh dipertikaikan. Oleh itu, lupakan sahaja.
Sebaliknya apabila kritikan itu datangnya dari seseorang yang arif dalam bidang tersebut, profesional, berilmu dan ada kredibiliti maka berlapang dadalah dan terima kritikan tersebut bagi memperbaiki dan meningkatkan diri. Sebab sebagai manusia biasa kita pasti punya kelemahan dan kekurangan serta sentiasa ada ruang bagi kita menjadi orang yang lebih baik.
4) Bersyukurlah bila semuanya sudah berakhir. Orang hanya sedar akan kekuatan kita apabila kita mula menonjol. Kalau kita sekadar jamaah biasa-biasa dan tidak punya apa-apa maka tiada sesiapa pun yang peduli dan ambil pusing. Ini bermakna kita berada di landasan yang betul menuju ke puncak jaya. Terus tabah, sabar dan istiqamah. Allahu Akbar !
5) Ikhlaskan hati menerima keputusan. Sebab dalam hati kita tahu bahawa orang yang tidak suka pada kita itu sebab mereka belum kenal siapa kita. Teruskanlah berdakwah… Lama kelamaan mereka juga akan malu pada diri sendiri. Malah mungkin satu hari nanti mereka tidak dapat elak dari meminta bantuan dan pertolongan kita. Ketika itu peluang terbuka luas bagi kita tunjukkan bahawa kita tidak seperti apa yang mereka sangkakan selama ini.
6) Maafkan semua orang dan doakan mereka. Ia sesuatu yang sukar dilakukan tetapi kesannya amat nyata pada jiwa. Walau orang lontarkan najis dan sampah, doakanlah mereka kebaikan. Kasihani mereka yang belum mendapat hidayah dari Allah untuk sedar. Kesian mereka… tetap berkarat !
Ibnul Qoyyim Al-Jauziyah telah menyebutkan
beberapa perkara lagi agar dada kita menjadi lapang, antaranya ialah:-
1) Tauhid, kesempurnaan tauhid yang ada pada seseorang akan menentukan sejauhmana ia akan merasakan kelapangan dalam dadanya. Allah SWT berfirman:-
فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُون
"Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman." (QS Al-An-Am : 125)
2) Cahaya iman, sungguh ia mampu membuat dada menjadi lapang, melegakan jiwa dan membahagiakan hati. Maka ukuran seseorang dari rasa kelapangan dada ini ialah dengan mendapat cahaya hidayah dari Allah SWT.
3) Ilmu itu melapangkan dada, dan melegakannya sehingga dia lebih luas dari dunia, semantara kebodohan akan mengakibatkan kesempitan, kesesakkan dan terpenjara. Pemilik ilmu ini adalah orang yang paling lapang dadanya. Oleh itu, atas apa sahaja isu kita kena mendapatkan pencerahannya terlebih dahulu… baru respon ! Jangan melatah dulu baru hendak dapat pencerahan. Terbalik tu…!
4) Kembali kepada Allah SWT dan mencintainya dengansepenuh hati, mendekat kepada Allah SWT, merasa nikmat dengan beribadah kepada -Nya, maka tidak ada yang lebih lapang bagi dada seorang hamba selain hal itu. Kerana sayangkan Allah bukan kerana sayangkan individu atau jamaah @ parti yang disertainya.
5) Meninggalkan perbicaraan yang berlebihan, atau perbahasan yang sia-sia. Kita pulak yang berlebih-lebih. Pemimpin telah bertaut kita terus bercakaran dengan hujah dan teori masing-masing. Sikap ini memancing rasa sakit hati, bimbang dan kebingungan yang tidak bertempat, mempersempit hati, membelenggu dan membuatnya terus tersesak.
KESIMPULAN :
CCUK hari ini panjang sikit….Berlapang dada lah untuk membacanya bukan berdada lapang. Berlapang dada menerima ketentuan Allah… Tetapi kalau berdada lapang sengaja mencabar Allah, sebab berfesyen belahan dada terlalu luas… Wallahu a’lam - Jangan bayangkan !! Ukay’s.
DAPATKAN HIMPUNAN 100 HARI CCUK EDISI BUKU TERBITAN KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA DI SELURUH NEGARA TIDAK LAMA LAGI, TUNGGU…!