Selasa, 7 Oktober 2014

OH ZABIHA KU…!

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Ahad, 10 Zulhijjah 1435H. OH ZABIHA KU…!
Zabiha bukan nama seorang wanita pujaan Ust. Kay ye…tapi adalah konsep sembelihan dalam Islam. Islam adalah agama ‘Rahmat’ untuk seluruh makhluk-Nya. Bukan kepada manusia sahaja bahkan kepada haiwan juga. Islam sangat berhemah dalam penyembelihan.
PENCERAHAN :
Beberapa perkara yang jarang kita dengar berkaitan sembelihan, antaranya ialah :
1) Unta, sunat disembelih dengan didirikan binatang itu. Jika tidak mampu untuk disembelih dalam keadaan unta itu berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan unta itu duduk. (Rujuk dalam al-Mughni)
2) Bagi korban wajib (korban nazar) yang tidak sempat dilakukan pada 10 Zulhijjah dan tempoh hari tasyriq (11-13 Zulhijjah), binatang itu tetap wajib disembelih sekalipun di luar waktunya dan sembelihan itu dikira sebagai qadha’. (Demikian fatwa dalam Hasyiah I’anah)
3) Telah banyak orang awam yang jatuh ke dalam syubhat akibat mewakilkan sembelihan dan agihan daging tanpa menyatakan apakah ia korban wajib (kerana nazar) atau korban sunat. Jika korban itu adalah korban wajib, maka kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada faqir miskin dalam keadaan mentah, serta haram memindahkan daging korban tersebut daripada tempat sembelihan ke negeri lain. Ini pendapat jumhur Syafi’iyyah.
4) Binatang seperti ayam tidak memadai dibuat korban atau aqiqah. Namun jika seorang itu benar-benar tidak mempunyai kemampuan, harus baginya berbuat demikian tetapi hendaklah dia bertaqlid kepada mazhab Ibn Abbas r.a. (Fatwa dalam Hasyiah Baijuri)
5) Seorang yang berkorban dengan tujuh ekor kibas lebih afdhal daripada tujuh ekor kambing. Manakala tujuh ekor kambing lebih afdhal daripada seekor unta dan seekor lembu atau kerbau kerana bertambah taqarrubnya kepada Allah dengan banyaknya darah yang mengalir.
6) Afdhal binatang yang dibuat korban itu yang bewarna putih, kemudian yang bewarna kuning, yang putih tetapi tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya berwarna putih, kemudian sebahagian yang berwarna hitam atau berwarna hitam semuanya dan yang berwarna merah semuanya.
7) Binatang jantan yang tidak banyak berkahwin lebih afdhal dari binatang betina. Sebaliknya binatang betina yang belum melahirkan anak adalah lebih afdhal daripada binatang jantan yang banyak berkahwin untuk disembelih sebagai ibadat korban.
8) Disyaratkan binatang itu ada Hayat Mustaqirrah pada mula-mula sembelihan. Hayat Mustaqirrah ialah haiwan tersebut masih kuat bertenaga samada selepas disembelih, dilanggar kenderaan atau dibaham oleh binatang buas dengan keadaan fizikalnya nyata kuat dengan pergerakannya bertenaga serta darahnya masih lagi memancut dan mengalir dengan kuat. Antara tanda lain ada Hayat Mustaqirrah ialah kuat geraknya ketika disembelih dan menyembur darahnya, atau memadai dengan kuat geraknya sahaja mengikut pendapat Imam An-Nawawi.
Maksud dan tanda-tanda Harakat Mazbuh :
1- Harakat Mazbuh ialah menafikan sifat-sifat dan syarat-syarat pada Hayat Mustaqirrah serta haiwan itu sudah kelihatan lemah dan seolah-olah sudah mati namun masih lagi kedengaran dengusannya.
2- Jika haiwan yang berada dalam keadaan Harakat Mazbuh ini dengan sebab sakit, keletihan atau dalam keadaan kelaparan, halal dimakan walaupun tidak kuat pancutan darahnya atau darahnya yang mengalir lesu dan tidak bermaya serta tidak bertenaga ketika disembelih.
KESIMPULAN :
Kata orang, supaya daging binatang menjadi lembut, tahan nafas sewaktu hendak sembelih dan semasa sembelih, nafas dilepas secara perlahan-lahan. Selesai sembelih binatang, maka sapukan hujung mata pisau kepada pipi binatang tadi supaya lalat tidak datang menghurungi daging. Sebaiknya tukang sembelih tidak menjadi tukang yang memandikan mayat kerana biasanya boleh membawa kepada daging yang keras atau liat.
Wallahu a’lam - Suka sup tulang ! Ukay’s

Tiada ulasan: