Selasa, 21 Oktober 2014

MUNGKIN JUGA…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Sabtu, 23 Zulhijjah 1435H. MUNGKIN JUGA…
Sudah menjadi kefahaman umum, 1 Muharram adalah tarikh penghijrahan Nabi Muhammad SAW yang kita sambut sebagai Sambutan Maal Hijrah di Malaysia ini. Tetapi tahukah kita bahawa ada pendapat yang kuat bahawa berlaku hijrah tersebut sebenarnya adalah pada bulan Rabiulawal? Ia ada dinyatakan dalam sebuah kitab sirah yang terkenal iaitu al-Rahiq al-Mahktum, yang ditulis oleh Syeikh Shafiurrahman Al-Mubarakfuri.
PENCERAHAN :
Ada beberapa hujah yang menyokong pendapat ini, antaranya ialah :
1) Nabi SAW dan sahabat baginda Saidina Abu Baar r.a telah menyerahkan kedua-dua binatang tunggangan mereka kepada Abdullah bin Uraiqat, seorang pemandu jalan yang mahir walaupun bukan Islam dengan menjanjikannya untuk menemui mereka di pintu gua, selepas 3 malam berlalu di malam Isnin 1 haribulan Rabiul al-Awal, tahun pertama Hijrah bersamaan 16 September 622 Masihi.
2) Ketibaan Nabi Muhammad SAW di Quba’ bertepatan pada hari Isnin 8 Rabiul al-Awal tahun 14 kebangkitan Rasulullah SAW, iaitu tahun pertama Hijrah bersamaan 23 September 622 Masihi.
3) Ibn al-Qayyum menceritakan; “Kedengaran laungan takbir di rumah Banu Amru bin Auf, justeru itu seluruh kaum muslimin pun melaungkan takbir kegembiraan dengan ketibaan baginda Rasulullah SAW dengan sambutan dan aluan sebagai seorang nabi, kesemua mereka merenung ke muka Rasulullah SAW melingkungi baginda dalam suasana di selubungi ketenangan dan wahyu pun turun kepada Rasulullah SAW.”
"…Sesungguhnya Allah adalah Pembelanya, dan selain dari itu Jibril serta orang saleh dari kalangan orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya" (QS al-Tahrim: 4)
Melalui riwayat daripada Syeikh Dr. Mustafa Sibaie, melalui kitabnya Sirah Nabawiyah Durusun wa ‘Ibar menyatakan bahawa peristiwa ini iaitu Nabi Muhammad saw tiba pada 12 Rabiulawal.
4) Baginda sampai ke sana setelah para sahabat lama menanti. Mereka keluar setiap
pagi ke pinggir Madinah dan hanya pulang setelah matahari memancar terik pada waktu tengah hari. Apabila mereka melihat Baginda, mereka merasa amat gembira. Kanak-kanak mula mendendangkan nasyid diiringi dengan gendang-gendang:
🎵 BULAN PURNAMA telah terbit kpd kami,
Dari jalan-jalan bukit Al-Wada.
Wajib ke atas kami untuk bersyukur,
Terhadap seruan penyeru kepada Allah.
Wahai utusan yang diutuskan kepada kami,
Kami datang bersama perkara yang dipatuhi.🎵
Bulan purnama yang di maksudkan disini ialah pada hampir pertengahan bulan iaitu 12 Rabiul Al-Awal dan bukannya 1 Muharram seperti yang biasa kita raikan. Maka, sewajarnya dilakukan review balik mengenai tarikh penghijrahan Nabi Muhammad SAW ini melalui kitab-kitab sirah yang terkenal dan digunapakai melalui pengajian-pengajian sirah selama ini.
Adapun mengenai penentuan bulan pertama di dalam takwim Hijrah, Umar Al-Khattab r.a orang yang bertanggungjawab terhadap perkara ini. Beliau menetapkan takwim Hijrah pada zaman pemerintahan beliau dan berpendapat menetapkan bulan Muharram sebagai bulan pertama di dalam Tahun Hijrah adalah kerana bulan Muharram ini istimewa kerana diharamkan berlaku peperangan.
KESIMPULAN :
Namun perlu ditegaskan di sini, apa pun tarikhnya sama ada hijrah Nabi SAW berlaku pada bulan Muharram atau bulan Rabiul Al-Awal, ia tetap tidak mengubah syariat yang dibawa oleh baginda. Yang salahnya ialah sambut Maal Hijrah bagai nak rak, tetapi tetap menolak syariat Islam yang dibawa oleh baginda SAW. Wallahu a’lam - Suka tonton channel Al-Hijrah. Ukay’s. (Ust. Hj. Kamil Sidek)

Tiada ulasan: