Rabu, 8 Oktober 2014

BAZZARA !

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Rabu, 13 Zulhijjah 1435H. BAZZARA !
"Bazzara, Yubazziru, Tabzira" yang bermaksud membazir atau boros itu dari segi lughah (bahasa). Manakala dari sudut istilah syarak pula membawa maksud sesuatu yang dikeluarkan pada jalan yang bukan hak.
PENCERAHAN :
“Pembaziran adalah perbuatan menafkahkan atau menggunakan harta pada jalan maksiat yakni tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah dan tidak berlandaskan tuntutan Sunnah Rasulullah SAW.” (Ibnu Mas’ud)
"Pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah SWT." (Imam Ibnu Kathir). Allah menyifatkan orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُواْ إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورً
"Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (QS al-Isra’: 27)
Gelaran yang Allah SWT beri kepada si pembazir dengan kalimat ‘saudara’ maknanya sangat mirip dengan perangai syaitan. Ya, saudara! bukannya sepupu atau dua pupu. Saudara rapat tu… Sama ada saudara kandung, anak saudara atau bapa saudara. Bukan sekadar bau-bau Bacang tau !
Umum memahami, membazir itu berlebih-lebihan daripada kadar sepatutnya. Contohnya, membuka paip air dengan kuat dan dalam tempoh yang lama sedangkan air yg digunakan hanya sedikit atau mengambil makanan yang banyak tetapi akhirnya tak habis dimakan. Keluar pejabat lupa ‘switch off’ lampu, kipas dan komputer. ‘Wes kelalenan… kepiyeto’ ?
Tetapi Ust. Kay rasa takkanlah dengan sekadar makan lebih, terlebih beli barang atau bil elektrik tinggi, terus Allah cap sebagai ‘Saudara Syaitan’? ‘Baik sangat’ syaitan kalau macam tu… Sebab itulah Imam Shafi’e mentakrifkan pembaziran dengan lebih tepat iaitu membelanjakan harta bukan pada jalan kebenaran, tetapi pada jalan maksiat iaitu pada jalan yang dimurkai Allah. Barulah nampak ‘syaitan’nya…
Contohnya, belanja duit untuk ke disco, karaoke, wayang, beli CD/DVD cerita atau lagu yang tak bermanfaat. Beli hadiah untuk girlfriend/boyfriend, membeli novel cinta, komik tahyul, beli rokok untuk menyumbang kepada Yahudi, beli akhbar penyebar fitnah. Bermedia sosial tapi sembang lagha je, berjamaah tapi asyik gaduh je dan sebagainya…
Jumhur ulama mengatakan tidaklah pula dikatakan membazir jika perbelanjaan itu dilakukan pada pekerjaan atau amal kebajikan dan kebenaran. Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Suhaib Ar-Rumy contohnya, telah mengorbankan seluruh-luruh-luruh harta bendanya fisabilillah ! Adakah ia merupakan pembaziran? Pada Ust. Kay, merekalah orang yang paling cermat dan bijak’sana’ berbelanja… Bukan sekadar bijak ‘sini’ (di dunia sahaja)
Menurut Ibnu al-Qayum al-Jauziah, terdapat sambilan lagi bentuk pembaziran yang sering dilakukan manusia antaranya;
1. Pembaziran Ilmu Pengetahuan – iaitu membazir jika tidak diamalkan.
2. Pembaziran Amalan – iaitu membazir jika tidak dilakukan dengan hati yang ikhlas.
3. Pembaziran Kekayaan – iaitu membazir jika dibelanjakan pada perkara yang maksiat.
4. Pembaziran Hati – iaitu membazir jika kosong daripada mengingati Allah SWT.
5. Pembaziran Tubuh Badan – iaitu membazir jika tidak digunakan untuk beribadah.
6. Pembaziran Cinta – iaitu membazir jika dicurahkan kepada selain Allah dan Rasul-Nya.
7. Pembaziran Masa – iaitu membazir jika tidak diurus dengan sebaiknya.
8. Pembaziran Akal – iaitu membazir jika tidak memikirkan hal-hal keagamaan (akhirat).
9. Pembaziran Zikir – iaitu membazir jika tidak memberi kesan kepada hati, hanya di bibir.
KESIMPULAN :
Mudahnya begini, jika buat sesuatu bukan kerana Allah maka membazirlah seluruh hidupnya di dunia. Tak pasal-pasal jadi saudara dekat syaitan pulak tu. Na’uzu billahi min zalik. Wallahu a’lam - CCUK membazir je bila lepas baca tak di share-sharekan ! Ukay’s.

Tiada ulasan: