Isnin, 14 Julai 2014

RAMADHAN BULAN REZEKI

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Ahad, 15 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN REZEKI - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)
Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya’ Ramadhan sekalian,
Ramadhan adalah bulan pesta ibadah, bukan bulan pesta juadah. Bulan Qiam (bangun malam), bukan bulan To’am (duduk makan). Bulan Jud (buat kebajikan) bukan bulan Food (ingat makan saja). Lihatlah pesta makan di sini sana. Bazar Ramadhan boleh bertukar menjadi bazir Ramadhan. Seperti biasa, petang ini berduyun-duyun manusia memenuhi bazar Ramadhan di seluruh negara, dan anda bayangkan yang datang semua lapar-lapar belaka.
Macam-macam makanan dan minuman dijual di sana yang pasti akan menepati nafsu setiap pengunjungnya. Nafsu perut seolah-olah tidak terkawal apabila melihat hampir kesemua jari tangan memegang plastik yang terisi pelbagai juadah. Tidak cukup 10 jari tangan, boleh sangkut pula di telinga kiri dan kanan. Soal beli dari orang yang tidak solat, orang fasik atau makanan itu disediakan oleh orang yang melawan perintah Allah seperti tidak menutup aurat itu belakang kira, yang penting perut dulu.
Begitu juga dengan pelbagai program masakan di kebanyakan saluran televisyen. Hotel dan restoran juga mengadakan pelbagai pakej buffet berbuka puasa. Harga pakej buffet untuk seorang, boleh menampung belanja dapur sebulan untuk keluarga fakir miskin. Namun sambutan yang diberikan tetap hebat. Soal tempat atau hotel itu dapat sijil pengesahan halal atau tidak itu belakang kira, yang penting perut dulu.
Pada bulan ini juga, akan banyaklah majlis berbuka puasa. Di samping meraikan saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan perniagaan, banyak pihak tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim. Maka berlumba-lumba orang ramai, syarikat-syarikat atau badan-badan tertentu mahu menjamu menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim ini. Kadangkala, rasanya anak-anak ini lebih kerap makan-makan di hotel mewah atau lebih beruntung berbanding ramai lagi orang miskin di kampung atau di bandar yang tiada siapapun pedulikan.
Sekarang pula, sudah menjadi trend akhir-akhir ini untuk mengadakan majlis iftar bersama-sama pelajar Maahad Tahfiz atau Darul Quran. Alhamdulillah… Namun tanpa disedari atau tanpa ‘disengajakan’ anak-anak hafiz yang selama ini diasuh untuk hidup bersederhana di pondok-pondok pengajian telah mula mulutnya ‘jinak’ untuk menjamu makanan yang mewah-mewah, matanya telah biasa melihat golongan artis memakai berbagai fesyen ‘Islam’ dan telinganya telah mula lunak mendengar lagu-lagu yang mengasyikkan sementara menunggu waktu iftar.
Bagaimanapun ia secara tidak langsung membuka pintu rezeki kepada orang lain, khususnya kepada peniaga-peniaga. Bagi para peniaga, Ramadhan juga memberi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan. Cuma jangan hanya ingat hendak menambah rezeki atau untuk mendapatkan keuntungan semata-mata, tetapi para perniaga sedang membantu para pengunjung yang berpuasa untuk juadah waktu berbuka mereka petang nanti. Banyak pahalanya tu… Jadi jangan berkira sangat ! Lebihkan jika boleh, niat sedekah untuk menumpang pahala memudahkan orang yang berpuasa berbuka.
Ambil pengajaran daripada nabi SAW setiap peniaga perlu memahami bahawa pembabitan mereka dalam urusan perniagaan juga adalah satu ibadah. Cuma, dalam keghairahan menjalankan perniagaan itu, akhlak dan adab berniaga mesti berdasarkan kehendak agama terutama dalam mengendalikan urusan jual beli bersama pelanggan.
Usahlah kerana terlalu hendak mengaut keuntungan sehingga lupa batas dan sempadan. Ingatlah akan peringatan Rasulullah SAW, “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, sodiqin dan orang yang mati syahid pada hari kiamat kelak.” (HR: At-Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Sepatutnya Ramadhan menjadi bulan mendidik dan mengajar peniaga erti keikhlasan dan kejujuran. Justeru, hak pelanggan perlu dijaga bagi memastikan setiap peniagaan yang dijalankan berjalan dengan baik dan dapat menjauhi semua unsur penipuan. Al-Quran berulang kali mengingatkan para peniaga supaya bersikap jujur dan melarang keras terhadap penipuan, penindasan dan penyelewengan dalam perniagaan. Contoh, menjual semula makanan yang tidak habis semalam, menjual air minuman yang tidak dimasak, mencampur buah yang segar dengan buah yang telah layu, mengurangi sukatan dan sebagainya.
Allah telah memberi amaran melalui firman-Nya;
ُ وَلَا تَنقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِنِّي أَرَاكُم بِخَيْرٍ وَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ مُّحِيطٍ
"…Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang bersalah)." (QS. Hud : 84)
Oleh yang demikian, kepada peniaga akhlak dan peraturan niaga mestilah sejajar dengan aturan agama. Barulah aktiviti tersebut berpahala dan hasil rezeki yang diperoleh mendapat berkat dan diredhai Allah SWT, apatah lagi sewaktu Ramadhan ini.
Di sebalik mencari rezeki di bulan yang mulia ini, para peniaga juga diingatkan jangan sampai mengabaikan aspek kebersihan. Tahap kebersihan yang tinggi perlu dikekalkan baik dari segi makanan yang dijual mahupun pakaian dan kebersihan diri peniaga serta kebersihan di kawasan perniagaan itu perlu dititik-beratkan. Bila bersih, penyakit pun tersisih. Pelanggan sakit, peniaga pun perit !
KESIMPULANNYA :
Kesempatan dan peluang yang ada ini wajar diambil oleh para peniaga untuk terus berniaga dengan jujur dan ikhlas. Jika ikhlas berniaga dengan menjaga akhlak dan adab sewaktu berniaga di samping memasang niat kerana Allah SWT bukan hanya untuk mengaut untung semata-mata pastinya Allah SWT akan mempermudahkan urusan perniagaan mereka. Wallahu a’lam - Untung di dunia untung di akhirat. Ukay’s.

Tiada ulasan: