Selasa, 22 Julai 2014

RAMADHAN BULAN KETAQWAAN

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Selasa, 24 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN KETAQWAAN - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)
Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya’ Ramadhan sekalian,
Kajian saintifik di Amerika, ‘Fasting Centre International Incorporation’ sebuah institusi yang mempromosikan puasa menemui bukti bahawa puasa mampu untuk mencegah dan memulihkan penyakit. Namun itu bukanlah matlamat utama Ramadhan. Objektif utama Ramadhan jelas di dalam al Quran iaitu untuk mencapai kecemerlangan pada sudut ketaqwaan seorang hamba.
PENCERAHAN :
Ibnu Kathir menyatakan taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini. Iaitu orang melalui jalan berduri di mana sudah pastinya seseorang itu perlu berhati-hati bagi mengelakkan terpijak duri.
Di samping memahami taqwa sebagai matlamat utama Ramadhan, ia juga membuktikan keadilan Allah. Taqwa itu boleh dicapai oleh sesiapa sahaja sama ada individu itu kaya, miskin, gemuk, kurus, cantik, hodoh, artis atau tidak dan sebagainya. Melalui penilaian taqwa ini Allah jelas menunjukkan keadilannya di mana semua manusia berpotensi untuk mencapai makam taqwa.
Namun secara umumnya amalan umat Islam khususnya pada 10 Ramadhan terakhir ini mungkin tidak akan berjaya merealisasikan aspirasi tersebut. Amalan Ramadhan umat Islam hari ini adalah tidak sama dengan amalan para salafus soleh terdahulu. Dahulu, para sahabat Rasulullah SAW menanti-nantikan klimaks Ramadhan iaitu pada penghujungnya.
Mereka bergembira dan semakin menghidupkan Ramadhan dengan tarawih, tadarus, tahajjud, qiyamullail dan sebagainya. Laungan selawat dan tasbih menguasai suasana. Amalan bersedekah diperganda dan kebajikan golongan tidak berkemampuan diambil berat dan dibela. Di kala Ramadhan meninggalkan mereka, para sahabat menangis dan bersedih kerana takut tidak ketemu lagi Ramadhan yang mulia. Alangkah indahnya suasana…
Kini di penghujung Ramadhan, Syawal lebih dinantikan berbanding Lailatul Qadar. Suasana Ramadhan hanya meriah tatkala di permulaannya. Masjid dan surau hanya penuh di awal Ramadhan dan hampir lengang diakhirnya. Lagu-lagu raya semakin meriah tatkala selawat dan zikir sepatutnya lebih diutama. Seolah-olah golongan artislah yang paling layak untuk meraikan kemenangan Ramadhan ini. Gembira sungguh mereka…
Setelah melihat kepada situasi dan amalan Ramadhan pada hari ini, dapatlah disimpulkan bahawa Ramadhan yang disambut setiap tahun, belum tentu akan dapat mengubah diri, masyarakat dan negara. Sebab tidak bermenifestasikan ketaqwaan sepenuhnya. Justeru, umat Islam perlu melakukan transformasi diri melalui;
1) Ilmu.
Hanya dengan ilmu yang sahih dapat memberi petunjuk kepada kita mengenai cara dan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.
2) Amal.
Ilmu tanpa amal, tidak akan dapat membuatkan seseorang mencapai darjat ketaqwaan. Amalan pula perlu disertai dengan itqan, istiqamah dan ikhlas.
3) Doa dan Tawakkal.
Amalan berdoa dengan sepenuh hati tanpa jemu akan menjadikan diri merasa sangat kecil di hadapan Allah. Doa ini pula mesti diikuti dengan tawakkal iaitu konsep berserah pada ketentuan Allah setelah berusaha.
4) Syukur dan Redha.
Setelah melalui ketiga-tiga fasa di atas, setiap individu yang ingin mencapai darjat ketaqwaan perlu memenuhi ciri-ciri fasa terakhir iaitu syukur dengan nikmat dan anugerah Allah dan redha dengan apa jua ujian dari Allah.
KESIMPULANNYA
Marilah kita jadikan Ramadhan yang masih berbaki ini sebagai titik tolak dan asas pengukuhan taqwa. Hayatilah roh Ramadhan sebenar untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata. Bukan kerana di hujungnya ada Hari Raya. Wallahu a’lam - Ilmu Cetus Taqwa (ICT). Ukay’s.

Tiada ulasan: