Isnin, 21 Julai 2014

RAMADHAN BULAN QIAMULLAIL

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Ahad, 22 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN QIAMULLAIL - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)
Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya’ Ramadhan sekalian,
Bila kita sebut ‘Qiamulail’, pastinya ramai yang tahu ia bermaksud solat malam. Perkataan qiamullail itu sendiri membawa maksud mendirikan malam, iaitu dengan membaca solat-solat sunat, berzikir dan membaca Al-Quran. Sebagai seorang Islam kita amat digalakkan untuk bangun di sepertiga malam untuk berqiamulail. Iaitu dari jam 2.00 pagi hingga ke Subuh.
PENCERAHAN :
Qiamulail Adalah Amalan Rasulullah SAW. Aisyah r.a menjadi saksi Nabi solat malam, sehingga Aisyah r.a berkata,” Nabi SAW melaksanakan solat malam sehingga bengkak-bengkak kakinya. Aisyah bertanya kepada Nabi: “Kenapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah padahal Allah SWT telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang?” Baginda SAW bersabda: “Apakah aku tidak boleh menjadi hamba yang bersyukur?” (HR: Bukhari dan Muslim)
Antara jenis-jenis solat malam yang popular ialah Solat Sunat Tahajjud. Namun sebelum melakukan solat sunat ini perhatikan beberapa perkara berikut;
1. Niat Untuk Mengerjakan Solat Tahajjud Sebelum Tidur
Adalah disunatkan untuk tidur terlebih dahulu sebelum mengerjakan solat Tahajjud. Oleh itu bagi mereka yang hendak melaksanakan solat Tahajjud, hendaklah dia berniat sebelum tidur bahawa dia akan melaksanakan solat tersebut. Sekiranya seseorang itu telah berniat namun dia gagal untuk terjaga dari tidurnya bagi mengerjakan solat Tahajjud, maka Allah SWT tetap akan mengurniakan pahala solat Tahajjud tersebut. Sabda Rasulullah SAW;

مَا مِنْ امْرِئٍ تَكُونُ لَهُ صَلاَةٌ بِلَيْلٍ فَغَلَبَهُ عَلَيْهَا نَوْمٌ إِلاَّ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَجْرَ صَلاَتِهِ
وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً عَلَيْهِ.

“Sesiapa yang (berniat) akan mengerjakan solat malam, lalu tertidur, Allah pasti menulis untuknya pahala solat malam dan tidurnya merupakan sedekah untuknya.”
(HR: An-Nasa’i)

2. Cara Untuk Menghilangkan Mengantuk.
Apabila terjaga dari tidur untuk melaksanakan solat Tahajjud hendaklah berusaha untuk menghilangkan perasaan mengantuk dari wajah dengan bersugi atau menggosok gigi dan setelah itu mengucapkan zikir ini. Nabi SAW bersabda;

مَنْ تَعَارَّ مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ.
لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.
الْحَمْدُ لِلَّهِ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.
ثُمَّ قَالَ: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي” أَوْ دَعَا اسْتُجِيبَ لَهُ فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ.

Barangsiapa terbangun pada malam hari lalu mengucapkan: “Tidak ada Tuhan yang disembah kecuali Allah semata, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan untuk-Nya segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Kemudian diucapkan: “Ya Allah ampunilah aku” atau dia berdoa nescaya akan dimakbulkan untuknya. Apabila dia berwuduk nescaya diterima solatnya.” (HR: Muslim)

Satu cara lagi untuk menghilangkan perasaan mengantuk adalah sebaik sahaja bangun dari tidur hendaklah kita mengusap wajah kita lalu membaca sepuluh ayat terakhir dari surah ‘Ali Imran.

3. Solat Sunat Dua Rakaat Sebelum Mengerjakan Solat Tahajjud. Hendaklah dikerjakan solat dua rakaat yang ringan sebelum memulakan solat Tahajjud. Nabi SAW bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ مِنْ اللَّيْلِ فَلْيَفْتَتِحْ صَلاَتَهُ بِرَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ.
"Jika salah seorang dari kalian ingin melaksanakan solat malam, maka hendaklah dia memulai solat malamnya dengan mengerjakan (solat) dua rakaat dengan agak cepat." (HR: Muslim)

Nabi Muhammad SAW yang bermaksud;
“Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang di antara kamu apabila kamu tidur dengan tiga ikatan. Ia menepukkan pada setiap ikatan; bagimu malam yang panjang maka tidurlah. Apabila kamu bangun dan berzikir kepada Allah maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk maka terbuka pula satu ikatan. Apabila kamu bersolat terbukalah satu ikatan. Maka di pagi hari kamu akan bersemangat dan merasa segar. Jika tidak nescaya di pagi hari perasaannya buruk dan malas.” (HR: Bukhari)
4. Mengerjakannya Di Rumah.
Adalah lebih utama sekiranya solat Tahajjud tersebut dilakukan di rumah sendiri. Baginda SAW bersabda;
“Hendaklah kalian solat di rumah kalian! Kerana sebaik-baik solat seseorang itu adalah di rumahnya kecuali solat wajib.” (HR: Muslim)
KESIMPULANNYA :
Jom sama-sama kita jadikan solat malam amalan kita di 10 akhir Ramadhan ini. Semoga Allah memberkati kehidupan kita. Kita juga dianjurkan untuk menangis dan bersungguh-sungguh dalam berdoa dan mengulangi doa sama sebanyak tiga kali. Sekiranya tidak mampu menangis, kata Imam Ghazali buat-buatlah menangis, buat-buat menangis pun tak mampu, menangislah kerana tak mampu menangis ! Wallahua’lam - Qiamullail bukan Naummullail. Ukay’s.

Tiada ulasan: