Isnin, 22 Disember 2014

IKHWANKU

Rindu Rasulullah saw pada umatnya :
Pernah satu ketika, sedang Rasulullah berkumpul di dalam satu majlis bersama para sahabat, tiba-tiba bergenang air mata Baginda Rasulullah s.a.w. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah. Bila ditanyakan oleh Saidina Abu Bakar, baginda mengatakan bahawa baginda terlalu merindui umatnya di akhir zaman yang disebut–sebut sebagai ikhwannya. Para sahabat merasa iri hati, hinggakan Saidina Abu Bakar bertanya, “Bukankah kami ini ikhwanmu?”. “Tidak, Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku.”, kata Rasulullah. Ikhwanku itu, menurut Rasulullah s.a.w, “Mereka adalah yang belum pernah melihatku, tetapi mereka beriman dan mencintaiku. Aku sangat rindu untuk bertemu mereka.
— (via gulagulagetah)

PENDERITAAN

Biar kepahitan itu pergi,
Agar kemanisan mengisi,
Biarkan kekecewaan berlalu,
Agar kegembiraan mewarnai,
Biarkan kegelisahan lenyap,
Jangan kita hilang semangat,
Biarkan penderitaan itu menyapa,
Agar kekuatan kita jana semula,
Biarkan diri ini derita,
Agar aku tahu kepahitan derita ini,
Agar aku sedar kesengsaraan ini,
Tak sama bahkan hanya secebis,
Dari penderitaan Rasulullah saw.
— (via gulagulagetah)

UNTUNGNYA HATI YANG SENTIASA MENGINGATI RASULULLAH

Untungnya hati yang sentiasa mengingati Rasulullah dalam setiap tidur dan jaganya.
Sebenarnya Rasulullah selalu memperhatikan ummatnya di alam sana.
Dan makin dekat dan berdamping dengan ummatnya seandainya kita memuji dan memanggil Baginda saw dalam selawat cinta.
Ada seorang hamba ALLAH yang dalam keadaan rasa bersalah kerana merasakan sedikitnya usahanya buat ummat.Dalam tangisan kerinduan itu,bauan kasturi menerjah hidungnya.Dia tahu dan merasakan kehadiran Rasulullah.
"Wahai Rasulullah,sudikah engkau memaafkan aku kerana lemahnya aku dalam berjuang?”
Assalamualaika ya nabiyuna..
— (via gulagulagetah)

Selasa, 16 Disember 2014

ORANG BERUNTUNG (1)

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Isnin, 22 Safar 1436H. ORANG BERUNTUNG (1)
Tiada siapa yang suka rugi. Sebaliknya, semua orang suka untung walaupun tidak menetap di Bukit Beruntung atau di Pasir Tuntung. Alangkah untungnya sekiranya kita termasuk dalam golongan orang yang beruntung sebagaimana yang dinyatakan Al-Quran.
PENCERAHAN :
Antara golongan yang beruntung berdasarkan firman-firman Allah SWT ialah :
1) Orang yang selalu melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar :
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (QS. Ali Imran : 104)
2) Orang mukmin yang selalu beramal saleh.
“Barang siapa yang berat timbangan (kebaikan) nya, maka mereka itulah orang-orang yang dapat keberuntungan. Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam neraka Jahanam. (QS. Al-Mu’minun : 102-103)
3) Orang yang berjihad dengan jiwa dan harta.
“Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersama dia, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan dan mereka itulah (pula) orang-orang yang beruntung.” (QS. At-Taubah : 88)
4. Mereka yang mengikut petunjuk Al-Quran.
“… Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (QS. Al-A’raf : 156-157)
5. Orang yang patuh kepada Rasulullah SAW.
Sesungguhnya jawaban orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan ; “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (QS. Al-Nur : 51)
6. Orang yang suka infak harta mereka.
“Maka berikanlah kepada kerabat yang terdekat akan haknya, demikian (pula) kepada fakir miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan. Itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang mencari keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang beruntung.” (QS. Al-Rum : 38)
7. Orang yang menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup.
“Alif Laam Miim. Inilah ayat-ayat Al Quran yang mengandung hikmah, menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan. menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan. (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat. Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (QS. Luqman : 1-5)
8. Tentera Allah SWT.
“… Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan Allah itulah golongan yang beruntung.” (QS. Al-Mujadalah : 22)
9. Orang yang terlindung dari sifat kedekut.
“… Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (QS. Al-Hasyr : 9)
10. Orang yang bertaubat.
“Adapun orang yang bertaubat dan beriman, serta mengerjakan amal yang soleh, semoga dia termasuk orang-orang yang beruntung.” (QS. Al-Hasyr : 67)
11. Orang yang bertaqwa.
“… Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.” (QS. Al-Baqarah : 1-5)
(SETELAH SELESAI JELAJAH PENANG, KEDAH DAN NEGERI SEMBILAN, TEMUI UST. KAY PULA DI JOHOR DALAM JELAJAH CUIT-CUIT USTAZ KAY’S DARI 17 - 19 DISEMBER INI. DAPATKAN BUKU CCUK DENGAN HARGA ISTIMEWA)
KESIMPULAN :
Untung dicari rugi dihindari. Untung dijanji oleh Mu Rabbi pasti syurga menanti. Sebaliknya rugi yang mengingkari di azab sakit tidak terperi. Wallahu a’lam - Esok kita bicara pula perihal orang beruntung yang ganjil, insya Allah ! Ukay’s (UST. HJ. KAMIL BIN SIDEK)

Isnin, 15 Disember 2014

ALLAH vs MANUSIA

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Ahad, 21 Safar 1436H. ALLAH vs MANUSIA
Redha Allah vs Redha Manusia.
Cinta Allah vs Cinta Manusia.
Kehendak Allah vs Kehendak Manusia.
Pandangan Allah vs Pandangan.
Ciptaan Allah vs Ciptaan Manusia.
Hukum Allah vs Hukum Manusia.
Kuasa Allah vs Kuasa Manusia.
Kekayaan Allah vs Kekayaan Manusia.
Janji Allah vs Janji Manusia.
Hak Allah vs Hak Manusia.
Acuan Allah vs Acuan Manusia.
PENCERAHAN :
Kesemua perkara di atas merupakan tajuk-tajuk pilihan untuk CCUK hari ini. Semuanya sama sebenarnya. Perbandingan di antara kedua tidak boleh disamakan seperti perbezaan antara langit dan bumi, siang dan malam atau antara Thailand vs Malaysia ! Jauuuh…berbeza sama sekali.
Lumrah manusia sentiasa hendak dilihat menarik dan menjaga adab mereka walau di mana mereka berada di hadapan orang sekeliling. Kalau boleh semuanya ingin nampak sempurna dan terbaik di mata manusia. Manusia umumnya akan menjaga tingkah laku demi menjaga nama baik dan maruah seperti di majlis keramaian, di pejabat dan sebagainya. Sepatutnya, kita sentiasa berbuat baik sama ada dilihat manusia atau pun tidak. Mencari redha Allah atau redha manusia?
Baginda SAW yang bermaksud :
“Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah sedangkan manusia murka, maka Allah akan cukupkan baginya akan segalanya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya pada manusia.” (HR : At-Tirmizi)
Manusia mengaplikasikan peraturan dan hukum yang dicipta manusia sendiri, tetapi malangnya manusia lalai dalam mengaplikasikan peraturan yang hakiki yang dicipta oleh Yang Maha Penghukum iaitu Allah SWT. Manusia lupa untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang sebenarnya iaitu Undang-undang dan peraturan Allah SWT. Tetapi manusia lebih takut melanggar Undang-undang Jalanraya daripada undang-undang Allah SWT.
Takut ‘Punch Card’ pejabat merah bila pergi kerja tapi tak takut Punch Card malaikat ‘merah’ bila lambat tunaikan solat. Abdullah bin Mas’ud telah bertanya kepada Rasulullah SAW : “Apakah amalan yg paling disukai Allah SWT?” Sabda Rasulullah SAW : “Solat dengan menjaga waktunya.”. (HR : Bukhari)
(DAPATKAN BUKU CUIT-CUIT USTAZ KAY’S DI KEDAI-KEDAI BUKU SELURUH NEGARA)
صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah) Acuan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik acuannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat.” (QS. Al-Baqarah : 138)
Antara dua pilihan atau lebih, pilihan yang mana lebih menguntungkan untuk membawa kita ke kehidupan yang lebih baik di dunia dan di akhirat. Bagi kita umat Islam tentunya berkaitan dengan hidup di akhirat kelak. Maka jika menyentuh tentang pilihan kehidupan di akhirat tentunya kita mahukan syurga daripada neraka. Jika kita mahukan syurga, pastinya kita hanya mahukan perhatian Allah daripada perhatian manusia.
Jadi dalam pilihan kita, apa jenis pilihan pun, kita perlu utamakan pilihan yang berkaitan Allah. Pilihan yang tidak melanggar apa yang ditegah-Nya. Pilihan yang menjadikan kita lebih dekat dengannya. Selain dari itu adalah pilihan yang kedua ataupun mungkin pilihan yang salah.
KESIMPULAN :
Kita boleh membuat pilihan, tetapi tidak boleh memilih AKIBAT pilihan itu. Kita semua memahami hakikat ini jika kita berpijak di bumi yang nyata dan bukan dikhayalan yang memperdaya. Wallahu a’lam - Pilihlah Allah pada setiap masa maka Allah akan sentiasa pilih kita pada semua masa. Ukay’s (UST. HJ KAMIL BIN SIDEK)